KUALA LUMPUR 16 Jan — Rakuten Trade memulakan liputan ke atas Guan Huat Seng Holdings Berhad dengan saranan 'beli' dan menetapkan nilai saksama pada 31 sen sesaham selepas penyenaraiannya.
Kata firma penyelidikan itu, unjuran tersebut lebih tinggi berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 25 sen, kerana disokong prospek pertumbuhan kapasiti dan perluasan portfolio produk baharu.
Tambahnya, kumpulan berkenaan yang sudah wujud di Melaka sejak 1979, memiliki rangkaian pengedaran pelbagai bahan makanan secara luas dan turut terlibat dalam pengeluaran produk perisa sendiri.
"Kami menjangkakan Guan Huat Seng merekodkan untung bersih RM9.2 juta bagi FY26 dan RM10.1 juta bagi FY27, dengan penilaian berdasarkan gandaan 16 kali pendapatan sesaham FY26," kata Rakuten.
Syarikat berkenaan jelas firma tersebut, sudah terkenal dalam pengedaran dan peruncitan makanan laut tahan lama dan sejuk beku, produk perisa, makanan kering, snek serta barangan runcit umum.
Ia juga merancang memperkenalkan produk baharu menjelang separuh kedua 2026, termasuk pengembangan produk yang diperoleh daripada pembekal luar, khususnya makanan laut tahan lama dan sejuk beku.
Menurut Rakuten, langkah perluasan rangkaian produk secara agresif dijangka meningkatkan kecekapan skala serta menyokong lagi tahap daya tahan margin Guan Huat Seng dalam tempoh jangka sederhana.
"Seiring itu, kumpulan merancang tiga cawangan runcit baharu iaitu dua di Lembah Klang dan satu di Johor bermula antara 2HCY26 hingga 2HCY27, melengkapkan pengedarannya di 12 negeri," tambahnya.
Selain itu, pasaran syarikat berkenaan meliputi 16 negara luar, manakala 70% hasil IPO digunakan bagi pengembangan fasiliti, termasuk pembinaan Kompleks Bersepadu di Batu Berendam, Melaka.
Fasiliti baharu Guan Huat Seng itu bagi menyokong aktiviti pengedaran dan pemprosesan makanan laut, dengan dilengkapi bilik pameran, pejabat serta makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Sebuah lagi kemudahan baharu syarikat itu di Krubong, Melaka kata Rakuten, akan dibangunkan untuk pengeluaran perisa dalaman dan pergudangan, dengan kedua-dua projek dijangka siap pada 2HCY28.
"Kami menyifatkan pelaburan ini tepat pada masanya kerana kadar penggunaan pembuatan semasa berada pada hingga 96%, mencerminkan ruang kapasiti yang terhad di bawah kemudahan sedia ada," katanya.
Di samping itu, inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menyasarkan 35.6 juta pelancong asing dijangka merangsang aktiviti perkhidmatan makanan, sekali gus meningkatkan permintaan hiliran.
Pelaksanaan pelbagai aktiviti pelancongan akan menjana permintaan produk makanan laut diproses dan sejuk beku, yang memberi manfaat tidak langsung kepada pengedar seperti Guan Huat Seng sendiri.
Dari segi kewangan, nisbah penggearan Guan Huat Seng berada pada 0.4 kali pada FY25 dan dijangka beralih kepada kedudukan tunai bersih selepas penyenaraian di Pasaran ACE pada 22 Januari 2026.
Kumpulan itu jelas Rakuten, turut komited kepada kadar pembayaran dividen sehingga 30% daripada keuntungan bersih, bersamaan hasil sekitar 1.2% bagi tahun semasa. - DagangNews.com








