KUALA LUMPUR 15 Jan – 1 Doc International Bhd merancang untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia melalui tawaran awam permulaan (IPO) yang akan melibatkan penerbitan 580.38 juta saham biasa baharu.
Syarikat ini mengurus rangkaian pusat kecantikan pelbagai jenama di Malaysia dan Singapura, menawarkan perkhidmatan penjagaan badan, muka dan rambut serta menjual produk kecantikan.
Hasil IPO itu katanya, akan digunakan untuk pengembangan di kedua-dua negara, termasuk penubuhan 23 pusat baharu di Malaysia dan lapan di Singapura, menaik taraf pusat sedia ada, serta pembelian mesin dan premis tambahan untuk menyokong operasi.
“Selain itu, 1 Doc bercadang memasuki segmen estetika perubatan melalui pemerolehan klinik di Malaysia dan memperluaskan aktiviti pemasaran melalui saluran dalam talian dan luar talian bagi meningkatkan kesedaran dan nilai jenama.
“Di Singapura, syarikat akan menubuhkan pejabat serantau dan gudang bagi menyokong pengembangan rangkaian pusat kecantikan,” katanya dalam maklumat draf prospektus syarikat.
Selain pengembangan pusat baharu, syarikat juga bercadang untuk menaik taraf dan memperbaharui pusat kecantikan yang sedia ada.
“Objektifnya adalah untuk meningkatkan pengalaman pelanggan, memperbaiki imej dan suasana pusat, serta menarik pelanggan baharu ke rangkaian yang telah ada.
“Syarikat juga merancang untuk memperluaskan kapasiti penyimpanan melalui pemerolehan premis tambahan di Selangor.
“Langkah ini akan membolehkan syarikat mengurus stok dan operasi dengan lebih efisien selaras dengan rancangan pengembangan pusat baharu,” katanya.
RHB Investment Bank Bhd bertindak sebagai penasihat utama bagi penyenaraian ini.
Bagi tahun kewangan 2024, 1 Doc mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM346.96 juta melalui rangkaian 53 pusat kecantikan di Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam pasaran. - DagangNews.com








