Projek hartanah di Johor terus sokong pertumbuhan Binastra, RHB Research kekal saranan beli dengan TP RM2.69 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek hartanah di Johor terus sokong pertumbuhan Binastra, RHB Research kekal saranan beli dengan TP RM2.69

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Jan – RHB Research mengekalkan cadangan Beli ke atas Binastra Corporation dengan harga sasaran RM2.69, menawarkan potensi kenaikan sebanyak 26 peratus dari harga semasa RM2.13 serta hasil dividen FY27F sekitar tiga peratus.

 

Firma penyelidikan itu berkata senarai projek Binastra di Johor kekal mantap dan syarikat itu dijangka terus menikmati permintaan yang tinggi dari projek pembangunan hartanah.

 

“Lawatan kami ke bilik pameran EXSIM Development di Plaza Pelangi, Johor menunjukkan prospek cerah bagi Binastra. Sehingga kini, Binastra telah memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM629 juta di Johor, termasuk projek The Asteriaz di Jalan Kebun Teh dan Causewayz Square di Jalan Lumba Kuda.

 

“Untuk projek tersebut, Binastra menandatangani dua pakej bernilai RM458.5 juta untuk The Asteriaz dan RM132 juta bagi kerja-kerja pemasangan cerucuk Causewayz Square,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Fasa 1 The Asteriaz, yang dibuka pendaftarannya pada November 2024, telah habis dijual, manakala Fasa 2 dijangka dilancarkan pada suku pertama 2026. 

 

Majlis pra pelancaran Causewayz Square ialah pada Jun 2025 dan lebih separuh unit dalam tiga blok pertama sudah ditempah oleh pembeli.

 

RHB Research berkata kehadiran pengunjung yang tinggi di bilik pameran menunjukkan minat pasaran yang kukuh terhadap projek EXSIM.

 

“Binastra juga berpeluang memperoleh kontrak pembinaan utama bagi Causewayz Square, dianggarkan bernilai RM1.3 hingga RM1.4 bilion, dengan syarat berjaya menyiapkan kerja pemasangan cerucuk RM132 juta yang diperoleh pada Ogos 2025.

 

“Projek The Asteriaz mungkin mempunyai dua fasa tambahan dengan nilai pembinaan antara RM400 hingga RM500 juta,” kata firma tersebut.

 

Setakat FY26 tahun kewangan semasa, Binastra telah memperoleh kontrak baru bernilai RM2.2 bilion berbanding sasaran dalaman RM4 bilion, dengan baki RM1.8 bilion dijangka datang dari projek di Johor atau mungkin beberapa projek di Lembah Klang. 

 

MAXIM Global juga mempunyai pembangunan di Taman Pelangi, Johor Bahru dengan anggaran kontrak RM800 juta, sementara EXSIM mempunyai tanah 6 ekar berhampiran New York Hotel di Johor Bahru yang berpotensi dibangunkan dengan GDV sekitar RM2.3 bilion.

 

Dari segi kewangan, Binastra menunjukkan pertumbuhan kukuh dengan perolehan dijangka meningkat daripada RM425 juta pada 2024 kepada RM2.686 bilion pada 2028F, manakala keuntungan bersih berulang naik daripada RM41 juta pada 2024 kepada RM205 juta pada 2028F. 

 

Saham Binastra kini diniagakan pada PE FY27F 13.7 kali, lebih rendah daripada purata industri 16 kali semasa kitaran naik 2017.

 

Binastra juga mencatat skor ESG 3.1 daripada 4, menunjukkan amalan cemerlang dari segi alam sekitar, sosial, dan tadbir urus. 

 

Syarikat menekankan kitar semula bahan binaan, keselamatan dan peluang sama rata untuk pekerja, tiada insiden rasuah dilaporkan, serta menyediakan saluran aduan dalaman secara selamat dan sulit.

 

Risiko yang wujud kata RHB Research ialah Binastra lambat memperoleh kontrak baharu atau kos bahan binaan meningkat melebihi anggaran. 

 

Walaupun begitu, dengan senarai projek yang kukuh di Johor, Binastra dilihat berada pada kedudukan yang baik untuk meneruskan pertumbuhan, kata firma tersebut. - DagangNews.com