KUALA LUMPUR 15 Jan – Telekom Malaysia (TM) dijangka mencatatkan pulangan atas ekuiti (ROE) melebihi 20 peratus menjelang 2027 susulan pelaksanaan program pengurangan pekerja sukarela (VSS) yang menawarkan pakej menarik kepada kakitangannya, menurut CGS International.
Program itu yang pertama kali diumumkan semasa pembentangan keputusan suku ketiga 2025 pada 24 November 2025, mendapat sambutan menggalakkan dan tempoh pulangan pelaburan dijangka kurang daripada dua tahun.
CGSI berkata berdasarkan anggaran, sekiranya 2,000 kakitangan atau 11 peratus daripada tenaga kerja akhir 2024 menerima tawaran ini, kos staf sebagai peratusan daripada hasil dijangka menurun kepada 18.7 peratus pada 2028, setanding tahap SingTel.
“Penjimatan kos ini dijangka meningkatkan ROE TM melebihi 20 peratus pada 2027.
“Dalam pada itu, keuntungan bersih teras FY27 dijangka meningkat kepada RM2.44 bilion. Syarikat turut dijangka meningkatkan nisbah pembayaran dividen daripada 60 peratus kepada antara 65 hingga 70 peratus bagi tempoh 2025 hingga 2027, sekali gus meningkatkan pulangan tunai kepada pemegang saham,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.
Menurut CGSI, TM kini diniagakan pada harga RM7.87 seunit dengan harga sasaran baru RM9.50, mencerminkan potensi kenaikan saham sekitar 20 peratus.
Kos staf TM yang tinggi berbanding pesaing serantau menjadi pendorong utama bagi pelaksanaan program VSS ini.
Selain daripada pengurusan kos dan keuntungan, TM terus memperkukuh reputasi ESG (persekitaran, sosial, tadbir urus). MSCI ESG rating TM meningkat daripada BBB ke A pada 2024, manakala liputan jalur lebar TM kini mampu menjangkau lebih 70 peratus isi rumah Malaysia.
Syarikat juga berjaya mengelakkan kebocoran data baharu selepas insiden 2023.
Walaubagaimanapun, CGSI Research menegaskan risiko utama termasuk persaingan sengit dalam perkhidmatan jalur lebar runcit, keadaan ekonomi yang perlahan serta cabaran membina rangkaian mudah alih sendiri.
TM kekal sebagai salah satu syarikat telekomunikasi terkemuka di Malaysia dengan nilai pasaran RM30.2 bilion dan pemegang saham utama termasuk Khazanah Nasional (21.5 peratus), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (17.2 peratus) dan Amanah Saham Bumiputera (10.1 peratus). - DagangNews.com








