Program Kemahiran VETRI MADANI 2026 disokong dana RM10 juta HRD Corp sasar 2,000 peserta komuniti India | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Program Kemahiran VETRI MADANI 2026 disokong dana RM10 juta HRD Corp sasar 2,000 peserta komuniti India

RAMANAN Ramakrishnan (tengah) bersama sekumpulan komuniti India pada sambutan Hari Ponggal di Kuala Lumpur. - Foto ihsan Kementerian Sumber Manusia
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 JanKementerian Sumber Manusia (Kesuma) melancarkan Program Kemahiran VETRI MADANI 2026 sebagai inisiatif strategik memperkasa komuniti India di seluruh Malaysia.


Mereka akan dilatih pelbagai kemahiran dan peningkatan kebolehpasaran, selaras dengan keutamaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), disokong Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).


Pelancaran program julung kali berkenaan dilaksanakan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Sri Ramanan Ramakrishnan hari ini, bersempena dengan sambutan Hari Ponggal peringkat kebangsaan.


"Vetri yang membawa maksud 'kemenangan' melambangkan komitmen kerajaan dalam membuka laluan mobiliti sosial dan peluang pekerjaan lebih mampan kepada komuniti India Malaysia," katanya..

 

Vetri
RAMANAN Ramakrishnan (kiri) menyampaikan sumbangan ketika sambutan Hari Ponggal di Kuala Lumpur. - Foto ihsan Kementerian Sumber Manusia


Menurutnya, program itu dirangka untuk menyediakan latihan berstruktur berteraskan keperluan industri semasa dan masa hadapan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi yang inklusif.


Inisiatif berkenaan jelas Ramanan, turut mengabsahkan peranan HRD Corp sendiri dalam memajukan pembangunan bakat secara yang lebih menyeluruh dengan merentas pelbagai komuniti di negara ini.


Program VETRI MADANI 2026 tambah beliau, menawarkan kursus dalam sektor yang berimpak tinggi dan strategik seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin, serta keselamatan siber.


"Selain itu, ia menawarkan latihan infrastruktur awan, analitik sains data, automasi, robotik, Industri 4.0, semikonduktor serta kejuruteraan elektronik lanjutan," jelasnya ketika berucap.

 

Vetri
RAMANANAN Ramakrishan (tengah) bersama komuniti India pada sambutan Hari Ponggal di Kuala Lumpur. - Foto ihsan Kementerian Sumber Manusia


Ia disokong peruntukan dana RM10 juta daripada HRD Corp dengan sasaran 2,000 peserta di seluruh negara, dan menyediakan pensijilan profesional diiktiraf bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.


Kata Ramanan, bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan dan capaian nasional, HRD Corp juga akan bekerjasama dengan Pusat Pembangunan Kemahiran negeri-negeri serta penyedia latihan berdaftar.


Tadbir urus program berkenaan ujar beliau lagi, turut akan dilaksanakan sepenuhnya dalam talian, manakala sesi latihan pula ditawarkan kepada peserta sama ada secara fizikal atau hibrid.


Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr Syed Alwi Mohamed Sultan berkata, program VETRI MADANI mencerminkan komitmen berterusan agensi berkenaan dalam menyokong agenda Kerajaan MADANI.


"Kami mahu membina Malaysia menghadapi cabaran masa depan dengan memajukan kemahiran serta memperkasa bakat merentasi semua komuniti," tambah beliau. - DagangNews.com