KUALA LUMPUR 21 Jan – PJBumi Bhd memperoleh lima set pelantar penggerudian daripada syarikat berpangkalan di China, Gaoyou Hao Xiang Petroleum Machinery Co Ltd, dengan nilai keseluruhan RM161.64 juta, bagi menyokong perkhidmatan pengurusan projek bersepadu minyak dan gas (O&G) di Indonesia.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata, perolehan aset terbaharu itu bertujuan memudahkan pelaksanaan perkhidmatan penggerudian di bawah projek pengurusan bersepadu O&G di negara jiran berkenaan.
Menurut syarikat itu, kewajipan pembeli untuk membuat sebarang pesanan adalah bersyarat kepada kejayaan PJBumi mendapatkan kontrak berkaitan.
“Pesanan pembeli akan dibuat melalui pesanan pembelian (PO) dengan menyatakan jenis, kuantiti dan keperluan penghantaran tertakluk kepada terma dan syarat yang dipersetujui,” katanya.
PJBumi turut memaklumkan kontrak tersebut tidak akan memberi kesan material ke atas modal saham diterbitkan dan berbayar, pegangan pemegang saham utama, pendapatan sesaham, aset bersih sesaham serta tahap gearan syarikat dan anak-anak syarikatnya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, sehingga PO dikeluarkan kepada penjual.
“Lembaga pengarah syarikat, selepas meneliti semua aspek kontrak, berpendapat kontrak ini adalah demi kepentingan terbaik syarikat, adil dan munasabah serta tidak memudaratkan syarikat dan pemegang sahamnya,” menurut PJBumi dalam pemfailan tersebut. - DagangNews.com








