KUALA LUMPUR 16 Jan — Pestec International Berhad buat julung kali mewujudkan jawatan baharu iaitu Presiden dengan melantik Datuk Adam Yee Hee Hoon bagi mengisinya berkuat kuasa 15 Januari 2026.
Dalam peranan baharunya, beliau akan bertanggungjawab terhadap hala tuju strategik kumpulan dan pembangunan perniagaan baharu, selain menyediakan pengawasan strategik ke atas prestasi operasi.
Beliau akan melaporkan kepada Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohamed Razeek Hussain Maricar, yang masih lagi kekal memegang tanggungjawab keseluruhan kumpulan penyedia rumusan kejuruteraan itu.
"Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Manindar Singh Chawla, akan terus menyelia penyampaian projek serta operasi harian syarikat," maklum Pestec kepada Bursa Malaysia.
Adam Yee berpengalaman luas merentasi sektor perindustrian, termasuk pernah berkhidmat sebagai Presiden dan CEO Siemens Malaysia Sdn Bhd, serta Timbalan Pengarah Urusan Powerwell Holdings Berhad.
Sepanjang kerjayanya, beliau terlibat dalam penstrukturan semula operasi, pelaksanaan inisiatif pertumbuhan strategik serta kerjasama dengan pihak kerajaan, majlis industri dan dewan perniagaan.
Tokoh korporat yang berusia 50 tahun itu, merupakan graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of West Scotland, Britain, serta anggota dalam Dewan Perdagangan Malaysia-Jerman.
Lembaga Pengarah yakin pelarasan peranan kepimpinan ini memperkukuh tadbir urus, kolaborasi dan kesinambungan pengurusan dalam menyokong hala tuju strategik kumpulan. - DagangNews.com








