KUALA LUMPUR 19 Jan — Walaupun permintaan sarung tangan getah global sudah melepasi paras sebelum wabak Covid-19, ancaman persaingan agresif daripada pengeluar China terus membayangi pemulihan.
Perkembangan tersebut mendorong TA Securities mengekalkan penarafan 'underweight' terhadap sektor sarung tangan, di sebalik unjuran permintaan meningkat kepada 398 bilion unit sepanjang tahun ini.
Firma penyelidikan itu berkata, permintaan antarabangsa mencecah 357 bilion unit pada 2024, melepasi paras 284 bilion unit pada 2019, dan kemungkinan bertambah kepada 370 bilion unit pada 2025.
"Ia disokong pemulihan penggunaan penjagaan kesihatan dan perbelanjaan kesihatan global, tetapi lebihan kapasiti berterusan dan tekanan harga diramal menghalang pemulihan keuntungan," katanya.
Menurut TA Securities, pertumbuhan jangka panjang permintaan diunjurkan 5% hingga 8% setahun, dipacu pasaran negara-negara maju serta peluang besar di Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika.
Kadar penggunaan sarung tangan juga jelasnya, semakin meluas di luar sektor perubatan, termasuk makanan dan minuman (F&B), kecantikan, penjagaan warga emas, hospitaliti dan semikonduktor.
Bagaimanapun, Malaysia semakin kehilangan pegangan pasaran global apabila pengeluar China muncul sebagai peneraju kos rendah, meningkat ketara daripada 11% pada 2019 kepada sekitar 34% pada 2025.
"Malaysia pula merosot daripada 63% kepada 35%, kerana pengeluar China mampu menawarkan harga jualan purata (ASP) lebih rendah daripada kos pengeluaran pemain tempatan," kata TA Securities.
Jelas firma itu, kelebihan kos tenaga dan pelaburan besar dalam automasi membolehkan China mengekalkan kadar penggunaan tinggi, meskipun lebihan kapasiti global sebenarnya masih lagi wujud.
Pengeluar China terus mengembangkan kapasiti ke Asia Tenggara termasuk Indonesia dan Vietnam, dengan tambahan kapasiti dianggarkan 60 hingga 80 bilion unit dalam beberapa tahun akan datang.
Dari sudut perdagangan, tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas sarung tangan perubatan buatan China, yang dijangka 100% atau lebih pada 2026, memberi manfaat sementara kepada pengeluar Malaysia.
"Bahagian pasaran Malaysia di AS meningkat kepada 59% pada tempoh 1H25, namun tekanan harga kekal sengit di pasaran bukan AS, apabila sarung tangan China dapat dijual lebih murah," tambahnya.
TA Securities menegaskan, sebarang pelonggaran tarif AS-China pada masa hadapan akan menjadi risiko penurunan utama kepada sektor ini, selain pengukuhan nilai ringgit turut memberi kesan negatif.
Secara keseluruhan, firma penyelidikan itu tidak menjangkakan pemulihan secara bermakna sebelum akhir 2027, memandangkan lebihan bekalan global dan sensitiviti harga pelanggan yang kekal tinggi.
Dalam liputan sektornya, ia mengekalkan saranan 'beli' ke atas Kossan dengan harga sasaran (TP) RM1.30, Hartalega (pegang, TP: RM1.07) dan serta Top Glove (jual, TP: 62 sen). - DagangNews.com








