KUALA LUMPUR 29 Jan – Penurunan harga saham KJTS Group Berhad ketika ini tidak menggambarkan asas perniagaan kumpulan tersebut yang sebenarnya dinilai semakin kukuh, menurut Malacca Securities.
Bagaimanapun, harga rendah kaunter syarikat berkenaan membuka peluang belian nilai kepada pelabur, kerana secara operasi kumpulan itu berada pada kedudukan yang lebih baik berbanding sebelum ini.
Ia turut disokong menerusi kejayaan meraih kontrak berkaitan pusat data (DC) serta pemeteraian perjanjian kerjasama strategik dengan China Construction Yangtze River (Malaysia) Sdn Bhd (CCYRM).
"Kerjasama selama tempoh dua tahun itu membolehkan kedua-dua pihak mengenal pasti, membida dan melaksanakan projek DC serta infrastruktur dan bangunan di Malaysia," kata Malacca Securities.
Selain itu jelas firma penyelidikan tersebut, KJTS berpeluang meneroka beberapa pasaran luar negara termasuk Kemboja, Thailand, Singapura dan Türkiye untuk memperluaskan lagi operasi perniagaannya.
Di bawah perjanjian itu, anak syarikat milik penuhnya, KJ Technical Services Sdn Bhd mengetuai reka bentuk sistem penyejukan dan pemanasan, pengurusan tenaga serta pengurusan fasiliti.
Artikel berkaitan: KJTS jalin kerjasama strategik dengan China Construction Yangtze River untuk projek pusat data serantau
Sementara CCYRM pula tambah Malacca Securities, akan bertanggungjawab dalam mengendalikan kerja-kerja kejuruteraan awam, struktur, seni bina dan penyelarasan keseluruhan projek yang diterima.
"Kami berpandangan kerjasama ini berpotensi memperluas buku tender KJTS, khususnya dalam segmen perkhidmatan penyejukan air, serta membuka laluan kemasukan sulung ke beberapa negara," katanya.
CCYRM ditubuhkan pada 2013 ialah subsidiari China Construction Third Engineering Bureau Co Ltd, berpengalaman luas dalam perancangan bandar dan projek pembinaan berskala besar di banyak negara.
Kerjasama ini dijangka mengukuhkan kedudukan KJTS dalam sektor DC dan infrastruktur, memperluaskan capaian kepada projek berskala besar serta meningkatkan nilai tawaran kepada ramai pelanggannya.
Unjuran pendapatan kumpulan berkenaan namun terus dikekalkan Malacca Securities berikutan tiada komitmen perbelanjaan tunai segera dan butiran projek yang dimeterai masih lagi adalah terhad.
"Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.00, berdasarkan unjuran 45 kali nisbah harga kepada pendapatan sesaham FY26 sebanyak 4.44 sen," katanya. - DagangNews.com








