Peningkatan kelulusan pinjaman dijangka terus sokong sektor hartanah pada FY2026 - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peningkatan kelulusan pinjaman dijangka terus sokong sektor hartanah pada FY2026 - MBSB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Jan – Sektor hartanah dijangka kekal positif pada 2026 berikutan minat membeli hartanah yang masih stabil serta pinjaman yang diluluskan terus meningkat, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata data terkini daripada Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan jumlah permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah berada pada RM55.3 bilion pada November 2025, mencatatkan peningkatan kecil sebanyak 0.14 peratus berbanding November 2024.

 

“Secara kumulatif, jumlah permohonan pinjaman dalam 11 bulan pertama 2025 meningkat kepada RM605.7 bilion, iaitu 3.08 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada 2024. 

 

“Angka ini menunjukkan minat membeli hartanah kekal kukuh walaupun terdapat turun naik bulanan.

 

“Walaupun permohonan pinjaman menurun sebanyak 8.3 peratus pada November 2025 berbanding bulan sebelumnya, jumlah pinjaman yang diluluskan meningkat kepada RM23.6 bilion, iaitu naik 8.5 peratus berbanding November 2024,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Kadar kelulusan pinjaman turut meningkat daripada 39.4 peratus pada November 2024 kepada 42.7 peratus pada November 2025. 

 

Ini menunjukkan lebih ramai pembeli mendapat pembiayaan, seterusnya menyokong jualan hartanah.

 

Secara keseluruhan, jumlah pinjaman yang diluluskan dalam 11 bulan pertama 2025 mencapai RM263.5 bilion, meningkat 1.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024. 

 

MBSB Research berkata angka ini sejajar dengan prestasi jualan syarikat pemaju yang lebih baik.

 

MBSB Research mengekalkan pandangan positif terhadap sektor hartanah kerana prospek pembelian dijangka terus kukuh pada tahun ini.

 

“Sentimen pelabur juga dijangka meningkat melalui beberapa langkah korporat oleh pemaju, termasuk penyenaraian REIT oleh IOI Corporation dan SP Setia.

 

“Walaupun Indeks Hartanah Kuala Lumpur (KL Property Index) mencatat prestasi yang ketinggalan berbanding KLCI pada 2025, dengan penurunan 6 peratus berbanding kenaikan 2.3 peratus KLCI, syarikat pemaju mencatat asas kukuh melalui jualan stabil dan keuntungan yang baik.

 

“Beberapa syarikat pemaju dilihat mempunyai prospek menarik, antaranya Mah Sing Group, Matrix Concepts dan UOA Development,” kata firma tersebut.

 

Mah Sing Group mencatat jualan baru RM1.88 bilion dalam sembilan bulan pertama kewangan FY25 dan dijangka mencapai sasaran jualan RM2.65 bilion bagi FY25. MBSB Research mengekalkan saranan Beli saham Mah Sing dengan harga sasaran RM1.54.

 

“Matrix Concepts pula dijangka mendapat manfaat daripada projek MVV City serta projek rumah bertanah di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan, yang menyokong pertumbuhan jualan dan keuntungan syarikat. Saham Matrix Concepts disyorkan beli dengan harga sasaran RM1.65.

 

“UOA Development pula bakal meningkatkan jualan hartanah melalui pelancaran projek sulungnya di Johor pada FY26. Syarikat ini juga mempunyai dividen menarik sebanyak 5.3 peratus dan kedudukan kewangan yang sihat. Saham UOA Development disyorkan beli dengan harga sasaran RM2.01,” katanya.

 

Selain itu, MBSB Research berkata projek pembangunan besar seperti Sistem Transit Pantas Johor Bahru–Singapura (RTS) dan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan bagi sektor hartanah. 

 

Projek hartanah industri juga dijangka menjadi sumber pendapatan baru bagi pemaju. - DagangNews.com