Peningkatan 7% gaji penjawat awam belum beri kesan positif peniagaan RCE Capital – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peningkatan 7% gaji penjawat awam belum beri kesan positif peniagaan RCE Capital – Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 Jan – Kenaikan 7% gaji penjawat awam berkuat kuasa Januari 2026 dilihat belum memberi kesan positif terhadap pertumbuhan perniagaan pembiayaan ditawarkan RCE Capital Berhad.


Menurut Maybank Investment Bank, situasi ini dianggap sebagai sesuatu yang mengecewakan syarikat itu, dan mengulangi keadaan sama ketika gaji kakitangan kerajaan dinaikkan 8% pada Disember 2024.


Justeru, firma tersebut menurunkan saranan saham kumpulan itu kepada 'pegang' daripada 'beli', dan harga sasaran (TP) dikekalkan pada RM1.16, memandangkan potensi kenaikan harga kini di bawah 10%.


"Walaupun terdapat hubungan kukuh antara emolumen penjawat awam dan pertumbuhan pembiayaan, RCE Capital masih tidak memberikan sebarang panduan mengenai perkara tersebut," katanya dalam nota.


Menurut Maybank IB, pihak pengurusan sebaliknya menjelaskan isu persaingan sengit dalam pasaran pembiayaan peribadi serta tahap kelayakan kredit pemohon baharu kurang memuaskan sebagai faktor.


Kumpulan berkenaan perlu melaksanakan pendekatan secara berhati-hati dalam meluluskan permohonan, walaupun golongan pekerja tersebut sebelum ini pernah menerima kenaikan gaji pada akhir 2024.


Bagaimanapun, dari sudut kualiti aset, firma penyelidikan itu menyatakan pandangan lebih positif apabila nisbah pembiayaan tidak berbayar (NPF) direkodkan RCE Capital menunjukkan penambahbaikan.


"Kami difahamkan NPF syarikat ini bagi 2QFY26 menurun kepada 4.7%, berbanding 4.8% pada 1QFY26, manakala kos kredit susut 17% tahun ke tahun (YoY) dan 54% suku ke suku (QoQ)," tambah Maybank IB.


Penurunan kos kredit itu didorong pengurangan kadar kes muflis, peletakan jawatan dan persaraan awal dalam kalangan penjawat awam, sebahagiannya dikaitkan dengan isu peningkatan gaji sebelum ini.


Di samping itu, RCE Capital jelas firma tersebut, menjangkakan trend penyederhanaan NPF dan kos kredit akan berlaku secara berterusan pada tahun ini susulan kenaikan gaji terbaharu petugas kerajaan.


Maybank IB mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan it dengan andaian pertumbuhan pembiayaan kasar 2% setahun, nisbah NPF pada paras 4.6%, serta kos kredit tahunan antara RM38 juta hingga RM39 juta.


"Kami turut menjangkakan gambaran yang lebih jelas mengenai hala tuju pertumbuhan pembiayaan hanya akan diperoleh apabila kumpulan ini mengumumkan keputusan 4QFY26 pada Mei 2026," katanya lagi.


Sementara itu jelas firma tersebut, pelabur masih boleh bergantung kepada hasil dividen melebihi 5% setahun, berasaskan nisbah pembayaran dividen sekitar 75% hingga 80%. - DagangNews.com