Pengukuhan yuan diramal sokong ringgit selari hubungan ekonomi Malaysia–China, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengukuhan yuan diramal sokong ringgit selari hubungan ekonomi Malaysia–China, kata Maybank IB

Foto kredit AFP
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 Jan – Pengukuhan nilai yuan dijangka memberi kesan sokongan tambahan positif kepada ringgit pada 2026 selari dengan hubungan ekonomi yang rapat antara Malaysia dan China.


Menurut Maybank Investment Bank, ringgit merupakan antara mata wang Asia yang paling sensitif terhadap pergerakan yuan, dan dijangka mengukuh secara berperingkat sepanjang tahun ini.


Perkembangan berkenaan jelas firma penyelidikan tersebut, didorong oleh faktor aliran masuk ekuiti, kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) sendiri dan sokongan berterusan Bank Rakyat China.


"Yuan yang lebih kukuh berpotensi menjadi penambat kepada mata wang serantau termasuk ringgit, khususnya ketika dolar AS berada dalam fasa lemah pada separuh pertama tahun ini," katanya.


Situasi semasa berkenaan tambah Maybank IB, diyakini mampu menawarkan kesan limpahan secara positif kepada perkembangan nilai banyak mata wang beberapa negara Asia sejak kebelakangan ini.


China masih lagi kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia lebih 15 tahun lalu, menjadikan pergerakan ringgit yang disifatkan amat berkait rapat dengan yuan berbanding mata wang serantau lain.


Kedua-dua mata wang tersebut juga jelas firma penyelidikan itu, kebetulan beroperasi di bawah sistem apungan secara terkawal yang disandarkan kepada bakul mata wang dalam usaha menjamin kestabilan.


"Kami mengunjurkan ringgit mengukuh dan mencatat purata hampir RM4.00 berbanding dolar AS pada separuh pertama 2026 sebelum lemah sedikit sekitar RM4.05 menjelang akhir tahun," kata Maybank IB.


Firma berkenaan bagaimanapun kekal dengan pendirian yang sederhana negatif terhadap pergerakan dolar AS pada awal tahun ini, dan menegaskan asas domestik Malaysia terus menjadi pemacu utama.


Keadaan itu jelasnya, turut disokong dengan pertumbuhan 2026 yang dijangka dipacu oleh pelbagai pelaburan, peningkatan import barangan modal serta kedudukan fiskal domestik yang semakin kukuh.


Tambah Maybank IB, situasi tersebut sekali gus dijangka menyokong aliran masuk pelaburan asing ke dalam pasaran tempatan kerana yakin dengan prospek ekonomi Malaysia. - DagangNews.com