Pengerusi Fraser & Neave, Tengku Syed Badarudin kekal dipilih anggotai Lembaga Pengarah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengerusi Fraser & Neave, Tengku Syed Badarudin kekal dipilih anggotai Lembaga Pengarah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 Jan – Majoriti besar pemegang saham Fraser & Neave Holdings Berhad menyokong pelantikan semula Tengku Syed Badarudin Tuanku Syed Putra Jamalullail sebagai Pengarah kumpulan.


Menerusi Resolusi Biasa 2 yang dibentangkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-64 di Kuala Lumpur Golf and Country Club semalam, seramai 526 pemegang saham meluluskan pelantikan kembali baginda.


Tengku Syarif Bendahara Perlis yang juga ialah Pengerusi Fraser & Neave sejak 27 Februari 2001 itu merupakan tokoh diraja berpengalaman luas dalam sektor korporat dan tadbir urus di negara ini. 


"Baginda menerima sokongan kukuh 99.81% undi, mewakili 325.37 juta saham, untuk dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas sejak 1987," maklum kumpulan itu kepada Bursa Malaysia.


Tengku Syed Badarudin pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Imbuhan dan anggota Jawatankuasa Pencalonan, namun melepaskan jawatan itu pada 2025 selaras pematuhan amalan tadbir urus korporat.


Selain itu, kesemua 12 resolusi biasa lain berjaya diluluskan, antaranya usul pembayaran dividen akhir satu peringkat sebanyak 35 sen sesaham bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 September 2025.


AGM Fraser & Neave itu turut menyaksikan pelantikan semula Michael Chye Hin Fah, Tan Fong Sang dan Kosit Suksingha sebagai anggota pengarah dengan sokongan mandat melebihi 99% undi yang diterima.


"Majoriti besar pemegang saham juga meluluskan pembayaran yuran dan manfaat pengarah sehingga RM1.84 juta bagi tempoh bermula 23 Januari 2026 sehingga AGM yang seterusnya," kata kumpulan itu. 


Mereka tambahnya, turut menyokong resolusi pelantikan semula KPMG PLT sebagai juruaudit bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026 dan pembaharuan mandat untuk transaksi pembelian balik saham.


Beberapa mandat urus niaga pihak berkaitan secara berulang melibatkan kumpulan Fraser & Neave Ltd, ThaiBev, BJC, Frasers Property dan entiti berkaitan lain juga dipersetujui ramai pemegang sahamnya.


Keputusan pengundian menandakan keyakinan berterusan terhadap hala tuju strategik syarikat, dan disahkan Coopers Professional Scrutineers Sdn Bhd selaku pemerhati bebas dilantik. - DagangNews.com