KUALA LUMPUR 15 Jan – Institusi pendidikan swasta yang berdaftar tidak perlu membayar Levi Pembangunan Sumber Manusia sepanjang tahun 2026 susulan keputusan Kerajaan untuk memberikan pengecualian levi tersebut bagi tempoh Januari hingga Disember tahun ini.
Menteri Sumber Manusia Datuk Sri Ramanan Ramakrishnan berkata pengecualian tersebut melibatkan institusi pendidikan swasta termasuk prasekolah, sekolah, institusi vokasional serta penyedia pendidikan tinggi swasta.
Menurut beliau, langkah itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,500 majikan dengan anggaran pelepasan levi melebihi RM35 juta.
“Inisiatif berkenaan akan dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dan telah diumumkan sebelum ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa perasmian Minggu Latihan Kebangsaan pada Jun 2025.
“Pengecualian levi itu bertujuan memperkukuh ekosistem pendidikan negara dengan memastikan institusi pendidikan kekal berdaya tahan, terus melahirkan bakat mahir yang bersedia menghadapi masa hadapan serta mengekalkan kesinambungan dan kualiti penyampaian pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa sektor pendidikan merupakan tonggak asas pertumbuhan negara kerana memainkan peranan penting dalam membentuk bakat masa depan dan memperkukuh rantaian modal insan jangka panjang Malaysia.
“Langkah ini mencerminkan fokus Kerajaan MADANI dalam memperkasa pembangunan bakat dan tenaga kerja, di samping komitmen untuk menyokong ekosistem pendidikan yang mampan dan berdaya tahan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan berkata HRD Corp menyokong sepenuhnya keputusan tersebut dan akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan pelaksanaan inisiatif itu berjalan lancar dan institusi pendidikan yang layak mendapat manfaat sewajarnya.
Perincian pelaksanaan pengecualian levi itu turut dikongsikan semasa lawatan kerja rasmi Ramanan ke HRD Corp baru-baru ini, yang merupakan lawatan pertama beliau sejak memegang jawatan pada Disember 2025.
Lawatan tersebut turut disertai Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
Di bawah rangka kerja levi sedia ada, bayaran levi bagi Januari 2026 lazimnya perlu dijelaskan pada atau sebelum 15 Februari 2026, manakala bayaran levi bagi Disember 2026 perlu dijelaskan pada atau sebelum 15 Januari 2027.
Bagaimanapun, institusi pendidikan swasta yang layak akan dikecualikan daripada kewajipan pembayaran levi tersebut bagi tempoh yang dinyatakan.
Kerajaan menegaskan pengecualian ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyokong pembangunan modal insan negara serta memastikan sektor pendidikan terus berperanan dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan ekonomi semasa dan masa hadapan. - DagangNews.com








