Pendapatan VS Industry dijangka sederhana pada 2Q26 disebabkan permintaan pelanggan perlahan, kata UOBKH | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan VS Industry dijangka sederhana pada 2Q26 disebabkan permintaan pelanggan perlahan, kata UOBKH

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 15 Jan – VS Industry Bhd (VSI) dijangka mencatat prestasi pendapatan sederhana bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026 (2Q26) susulan permintaan pelanggan yang lebih perlahan secara bermusim.

 

Menurut UOB Kay Hian, selain itu, perkembangan tersebut turut didorong oleh pengurangan inventori pada Disember 2025 serta pergerakan mata wang yang tidak memihak kepada kumpulan berkenaan.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan titik perubahan yang lebih jelas bagi penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) berkenaan pada separuh kedua tahun kewangan 2026, disokong oleh peningkatan pengeluaran model baharu di kemudahan Filipina serta permulaan barisan produk baharu bagi beberapa pelanggan.

 

VS Industry Philippines Inc, yang ditubuhkan pada akhir 2024 dengan kemudahan di Santo Tomas, Batangas, merupakan peluasan penting bagi kumpulan tersebut untuk memenuhi tempahan elektronik pengguna baharu. 

 

Operasi itu diunjurkan menjana RM1.5 bilion hasil dalam tempoh dua tahun, dengan fokus kepada pelokalan operasi seperti pengacuan plastik di samping meningkatkan aktiviti pemasangan untuk pelanggan global utama.

 

Menurut UOBKH Research, perkembangan ini meletakkan asas kepada pertumbuhan volum yang lebih kukuh, penyerapan kos yang lebih baik serta pemulihan margin menjelang tahun kewangan 2027 (FY27).

 

Bagi 1Q26, VSI mencatat pemulihan ketara dengan pendapatan teras RM24 juta, berbanding prestasi hambar pada 4Q25.

 

UOBKH mengekalkan saranan “beli” ke atas VSI dengan harga sasaran 70 sen sesaham, berdasarkan penilaian 16 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) bagi FY26.

 

VSI turut menekankan cabaran industri semasa khususnya tekanan berkaitan tarif, dijangka terus menekan keuntungan dalam kalangan pengeluar kontrak dan industry EMS sekurang-kurangnya sehingga FY26.

 

Bagi menavigasi persekitaran operasi yang mencabar, syarikat itu memaklumkan telah memutuskan untuk berkongsi sebahagian beban tarif dengan pelanggan sebagai pertukaran kepada volum pesanan yang lebih tinggi. 

 

Langkah ini dijangka terus membawa kepada tekanan margin dalam jangka terdekat, namun landskap margin rendah semasa turut mempercepatkan proses penyingkiran pemain lemah dalam industri.

 

“Keadaan ini mempercepatkan fasa hanya yang paling berdaya saing mampu bertahan, di mana pemain yang kurang berdaya saing keluar daripada pasaran, sekali gus membuka peluang kepada penyatuan bahagian pasaran oleh pemain yang mapan dan berdaya tahan seperti VSI,” kata UOBKH.

 

Walaupun terdapat sedikit pengurangan pesanan bagi model sedia ada tertentu daripada salah seorang pelanggan VSI, firma penyelidikan itu menjangkakan keadaan tersebut akan diimbangi oleh sumbangan daripada model baharu yang baru diperoleh.

 

Permintaan bagi produk pembersih kolam renang dijangka kembali normal, namun peningkatan pesanan daripada pelanggan berpangkalan di Amerika Syarikat serta segmen pembancuh kopi kekal utuh.

 

Secara keseluruhan, pengurusan VSI mengekalkan sasaran hasil FY26 sebanyak RM4.2 bilion.

 

VSI juga terus menarik minat syarikat multinasional baharu dengan memanfaatkan ekosistem Malaysia yang kukuh. 

 

Perbincangan peringkat awal sedang berlangsung, dengan potensi kerjasama dalam industri perubatan muncul sebagai peluang paling ketara setakat ini. 

 

Menurut UOBKH, aktiviti pemasangan papan litar bercetak telah pun dimulakan untuk pelanggan berkenaan.

 

Selain itu, VSI turut memperoleh pelanggan baharu dalam segmen penyelenggaraan kolam renang serta memperdalam integrasi dengan pelanggan sedia ada, termasuk kerjasama dalam pengeluaran pek bateri yang digunakan merentas pelbagai model.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kejayaan memperoleh kontrak bernilai RM300 juta pada margin bersih 3% berpotensi meningkatkan pendapatan FY26 kira-kira 7%. - DagangNews.com