Pemindahan penyenaraian Manforce ke Pasaran ACE diluluskan Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemindahan penyenaraian Manforce ke Pasaran ACE diluluskan Bursa Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Jan – Syarikat pengambilan dan pengurusan pekerja, Manforce Group Berhad menerima kelulusan Bursa Malaysia Securities Berhad untuk memindahkan penyenaraiannya daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penasihat utama dan penaja, M&A Securities berkata Bursa Securities melalui surat bertarikh 19 Januari 2026 telah meluluskan cadangan pemindahan penyenaraian itu serta sebut harga bagi keseluruhan modal saham terbitan diperbesarkan Manforce sebanyak 399.98 juta saham di Pasaran ACE.

 

“Selain itu, Bursa Securities turut memberikan kelulusan secara prinsip untuk pendaftaran prospektus penyenaraian Manforce,” katanya dalam makluman itu. 

 

Bagaimanapun, M&A Securities dikehendaki mengemukakan pengesahan pendaftaran selewat-lewatnya pada pukul 12.30 tengah hari, sekurang-kurangnya tujuh hari pasaran sebelum tarikh pendaftaran yang dicadangkan.

 

Kod saham dan kod ISIN syarikat akan dimaklumkan pada peringkat seterusnya.

 

Sehubungan dengan kelulusan tersebut, Manforce dan M&A Securities perlu mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan oleh Bursa Securities.

 

Ia termasuk penyerahan maklumat berkaitan moratorium pegangan saham pemegang saham tertentu kepada Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd, mendapatkan kelulusan pihak berkuasa berkaitan, serta memastikan pematuhan keperluan ekuiti Bumiputera seperti yang diluluskan atau dikecualikan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

 

Syarikat juga perlu membuat pengumuman berkaitan mengikut Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE, mengemukakan jadual pengagihan saham bagi memenuhi keperluan pegangan awam, serta mengesahkan pematuhan pengarah terhadap keperluan akreditasi mandatori sebelum tarikh penyenaraian.

 

Bagi tawaran awam yang akan dilaksanakan, Manforce perlu mengumumkan keputusan tawaran tersebut sekurang-kurangnya dua hari pasaran sebelum tarikh pemindahan penyenaraian, termasuk tahap langganan, asas pengagihan, pecahan pengagihan penempatan, serta pendedahan pemegang saham utama baharu jika berkenaan.

 

M&A Securities turut dikehendaki memastikan pengagihan keseluruhan sekuriti Manforce dilaksanakan secara teratur bagi mengelakkan ketidaktentuan dagangan di pasaran sekunder.

 

Manforce dan M&A Securities juga perlu mengemukakan pengesahan bertulis kepada Bursa Securities mengenai pematuhan sepenuhnya terhadap terma dan syarat kelulusan sebaik sahaja syarikat diterima masuk ke dalam Senarai Rasmi Pasaran ACE. - DagangNews.com