KUALA LUMPUR 19 Jan — Pemegang saham Supreme Consolidated Resources Berhad bakal menentukan nasib Pengerusi Eksekutif, Datuk Seri Richard Wee Liang Chiat pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bulan depan.
Kumpulan tersebut berkata, cadangan pemilihan semula beliau dibentangkan antara resolusi syarikat itu yang akan diadakan pada 13 Februari 2026 dan bertempat di Abell Hotel, Kuching, Sarawak.
Ia diletakkan sebagai Resolusi Biasa Pertama untuk diundi melibatkan cadangan pemilihan semula tokoh itu menawarkan diri untuk dipilih kembali setelah bersara menurut perlembagaan syarikat.
Selain peranan korporat, Wee dikenali sebagai pemimpin masyarakat aktif apabila pernah terlibat secara aktif sebagai Presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.
Beliau yang berusia 65 tahun itu pernah terbabit sebagai anggota Lembaga Amanah Yayasan Sarawak, serta mencerminkan latar belakang kepimpinan beliau dalam bidang perniagaan dan komuniti.
"AGM pada kali ini turut mengemukakan usul cadangan pemilihan semula seorang lagi pengarah, Ting Ing Thai," jelas Supreme Consolidated dalam satu maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Turut akan dibentangkan untuk pengundian pemegang saham syarikat ialah cadangan pembayaran yuran Pengarah Bukan Eksekutif berjumlah RM120,000 bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026.
Mereka juga akan mengundi usul pembayaran manfaat RM20,000 kepada Pengerusi Jawatankuasa Audit dan Pengurusan Risiko serta Pengerusi Jawatankuasa Pencalonan dan Ganjaran pada AGM berkenaan.
Pemegang saham turut akan mempertimbangkan resolusi bagi pelantikan semula Crowe Malaysia PLT sebagai juruaudit syarikat serta pemberian kuasa kepada pengarah untuk menentukan imbuhan mereka.
Satu lagi resolusi penting ialah cadangan pemberian kuasa kepada pengarah untuk menerbitkan saham baharu termasuk pengecualian hak keutamaan kepada pemegang saham sedia ada. - DagangNews.com








