Pemegang saham kekalkan Pengerusi AppAsia, Rahadian Mahmud dalam Lembaga Pengarah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang saham kekalkan Pengerusi AppAsia, Rahadian Mahmud dalam Lembaga Pengarah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 9 Jun – Pemegang saham AppAsia Berhad memberi sokongan besar kepada pemilihan semula Pengerusi Bebas Bukan Eksekutifnya, Datuk Seri Rahadian Mahmud Mohammad Khalil.

 

Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, usul pertama berkenaan diluluskan pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-22 (AGM) syarikat itu di Hotel Concorde, Kuala Lumpur pada 8 Jun 2026.


Berdasarkan keputusan pengundian, pemilihan semula beliau sebagai pengarah mengikut Klausa 105(1) Perlembagaan Syarikat dan memperoleh sokongan 99.9999% daripada pemegang saham yang mengundi.


"Beliau memperoleh persetujuan daripada sembilan pemegang saham mewakili 767,840,990 saham berbanding hanya seorang yang mewakili 263 saham mengundi untuk menentangnya," kata AppAsia.


Rahadian Mahmud merupakan graduan bidang Kejuruteraan Awam dari Queen Mary College, University of London di Britain pada 1999 dan mempunyai pengalaman yang luas dalam pelbagai sektor utama.


Antaranya termasuk aktiviti pembalakan, penanaman semula hutan, pembinaan, pembangunan hartanah dan pembuatan, di samping memegang banyak jawatan pengurusan tertinggi di beberapa syarikat besar.


Beliau pernah menerajui Permaju Industries Berhad sebagai Pengerusi Eksekutif dari 2005 hingga 2017 dan seterusnya berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Magna Prima Berhad sehingga Julai 2021.


Selain itu, Rahadian Mahmud pernah berkhidmat di Sinmah Capital Berhad, serta menganggotai Lembaga Pengarah Iconic Worldwide Berhad, dan kini Pengerusi Eksekutif, Rivertree STF Synergies Berhad.


Pada AGM tersebut, kesemua lapan usul biasa lain yang dibentangkan pihak pengurusan AppAsia, turut diluluskan termasuk pemilihan semula Wong Ngai Peow dan Yong Mai Fang sebagai pengarah syarikat.


Pemegang saham turut menyokong usaha lembaga pengarah menerbitkan saham baharu, pembaharuan mandat urus niaga pihak berkaitan berulang yang bersifat perdagangan hasil, serta pembaharuan kuasa.


Kesemua resolusi melalui proses pengundian dan keputusan kemudian disahkan oleh Quantegic Services Sdn Bhd selaku pemeriksa bebas yang dilantik oleh syarikat. - DagangNews.com