Pemegang saham Johan Holdings kekalkan Pengarah Urusan, Puan Sri Tan Swee Bee sebagai Pengarah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang saham Johan Holdings kekalkan Pengarah Urusan, Puan Sri Tan Swee Bee sebagai Pengarah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 Jan – Majoriti besar pemegang saham Johan Holdings Berhad mengekalkan Pengarah Urusan, Puan Sri Tan Swee Bee, dalam Lembaga Pengarah pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat.


Tokoh korporat yang berusia 79 tahun itu, dilantik sebagai anggota lembaga tersebut sejak 11 Oktober 1989, dengan memiliki pengalaman cukup luas dalam bidang pengurusan korporat di kumpulan berkenaan. 


Beliau menyandang jawatan Pengarah Urusan sejak 17 Disember 1984, dan mempunyai latar belakang sebagai graduan perundangan Barrister-at-Law dari Lincoln’s Inn, London United Kingdom pada 1971.


"Seramai 19 pemegang saham dengan 709,510,284 saham mewakili 99.9982% memilih beliau untuk dilantik semula sebagai Pengarah Johan Holdings," maklum syarikat tersebut kepada Bursa Malaysia.


EGM kali ke-100 itu diadakan di Pusat Teknologi George Kent, Puchong, Selangor pada 14 Januari 2026 dengan semua lima Resolusi Biasa yang dicadangkan dalam notis diluluskan pemegang saham.


Proses pengundian dan keputusan usul berkenaan kemudian disahkan secara rasmi oleh Symphony Corporate Services Sdn Bhd, sebagai firma pemeriksa bebas yang dilantik oleh syarikat tersebut.


Selain itu, pemegang saham meluluskan Resolusi Biasa 2 bagi melantik semula Tan Poh Meng sebagai Pengarah, yang diterima dengan majoriti besar hampir lengkap 100% daripada yang hadir mengundi.


"Sementara itu, Resolusi Biasa 3 turut meluluskan pembayaran yuran dan manfaat kepada Pengarah Bukan Eksekutif untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Julai 2026," jelas Johan Holdings.


Resolusi Biasa 4 pula menyaksikan pelantikan semula Baker Tilly Monteiro Heng PLT sebagai Juruaudit Luar dan memberi kuasa kepada Lembaga Pengarah untuk menetapkan imbuhan mereka.


Dalam pada itu, resolusi terakhir, yang memberi kuasa kepada Lembaga Pengarah untuk mengeluarkan dan memperuntukkan saham baharu mengikut Akta Syarikat 2016, turut diluluskan dengan majoriti.


Ia menunjukkan sokongan kuat pemegang saham terhadap strategi korporat syarikat, dan keyakinan mereka terhadap kepimpinan sedia ada dalam menghadapi cabaran masa depan. - DagangNews.com