KUALA LUMPUR 15 Jan - Pembinaan kapal pelbagai misi pertama (MPMS 1) milik Maritim Malaysia (APMM) mencatat kemajuan memberangsangkan apabila mencapai tahap 58.3 peratus iaitu mendahului jadual asal pelaksanaan projek.
Kapal yang dibina di limbungan DESAN Shipyard di Istanbul, Türkiye dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027.
Ini bermakna jangkaan untuk APMM menerima dan mengoperasikan kapal termoden itu nanti boleh menjadi kenyataan.
Kemajuan ini bukan sekadar pencapaian teknikal, malah mencerminkan keberkesanan keputusan strategik kerajaan Malaysia dalam memilih limbungan perkapalan luar negara yang berpengalaman dan berkeupayaan tinggi.

Projek pembinaan MPMS 1 yang bernilai RM304.29 juta menunjukkan tahap pelaksanaan yang konsisten dan berdisiplin.
Menerusi perkongsian Kementerian Dalam Negeri (KDN) semasa lawatan rasmi Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan), Datuk Makhzan Mahyuddin ke DESAN Shipyard, status pembinaan kapal ini bukan sahaja berjalan lancar, malah melepasi garis masa yang ditetapkan.
Turut menyertai lawatan tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) APMM, Laksamana Madya (M) Datuk Saiful Lizan Ibrahim.
Lawatan ini memberi gambaran jelas bahawa pemantauan berterusan oleh pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam memastikan projek dilaksanakan mengikut spesifikasi, kualiti dan tempoh yang dipersetujui.
MPMS yang berukuran 99 meter panjang dan mampu membawa seramai 70 kru ini direka sebagai platform pelbagai peranan.


Keupayaannya merangkumi rondaan jarak jauh, operasi penguatkuasaan undang-undang maritim, pencarian dan penyelamatan (SAR), sokongan logistik serta pengoperasian bot laju.
Dalam konteks keselamatan maritim negara, khususnya di kawasan sensitif seperti Laut China Selatan, kehadiran MPMS akan memperkukuh keupayaan APMM.
Pemilihan DESAN Shipyard di Türkiye sebagai rakan strategik pembinaan MPMS merupakan satu keputusan yang berasaskan pertimbangan teknikal, keupayaan industri dan rekod prestasi.
Ia mencerminkan pendekatan bijak kerajaan dalam menilai keupayaan industri global demi memastikan aset keselamatan negara dibangunkan dengan kualiti tinggi, kos berpatutan dan mengikut jadual.
Türkiye kini muncul sebagai antara negara yang pesat membangunkan industri pembinaan kapal ketenteraan dan keselamatan, khususnya dalam segmen kapal rondaan, kapal pelbagai misi dan aset maritim berteknologi tinggi.


DESAN Shipyard mempunyai pengalaman luas dalam membina kapal untuk pengawal pantai dan agensi keselamatan pelbagai negara, sekali gus memberikan keyakinan terhadap keupayaannya memenuhi keperluan operasi APMM.
Kemajuan pembinaan yang mendahului jadual menjadi bukti nyata bahawa pemilihan limbungan ini dibuat secara teliti dan berlandaskan kecekapan sebenar, bukan semata-mata faktor kos.
Keyakinan kerajaan Malaysia terhadap prestasi DESAN Shipyard diperkukuhkan lagi apabila Surat Setuju Terima (Letter of Acceptance – LOA) bagi kapal MPMS kedua (MPMS 2) diserahkan kepada syarikat tersebut pada 7 Januari 2026 di Ankara.
Kapal kedua ini bernilai RM339.85 juta dan merupakan tambahan penting kepada aset sedia ada APMM.
Sekiranya prestasi semasa DESAN Shipyard dijadikan kayu pengukur, berkemungkinan kapal MPMS kedua yang akan mula dibina tahun ini boleh diterima dalam tempoh 2 tahun lagi.


Keputusan untuk meneruskan perolehan MPMS kedua daripada limbungan yang sama menunjukkan kesinambungan dasar perolehan yang pragmatik, berasaskan prestasi dan kebolehpercayaan.
Ini sekali gus mengurangkan risiko kelewatan, masalah teknikal atau kos tambahan.
Aset seperti MPMS yang boleh berperanan sebagai kapal induk akan menyokong operasi kapal-kapal lain untuk menangani pencerobohan, aktiviti haram rentas sempadan dan insiden kecemasan maritim secara lebih berkesan dan berterusan.
Perolehan MPMS 1 dan MPMS 2 bukan sahaja memperkukuh armada APMM, malah meningkatkan keupayaan pemantauan dan penguatkuasaan maritim negara secara lebih strategik. - DagangNews.com








