KUALA LUMPUR 15 Jan – Prestasi Aurelius Technologies Berhad dijangka melonjak pada 2026 dengan pembukaan penuh kilang terbaharu (P5) syarikat yang bakal menjadi pemacu pertumbuhan utamanya, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan itu berkata dengan sasaran kadar penggunaan meningkat daripada 15 peratus kepada 30 peratus tahun hadapan, syarikat bukan sahaja memperkukuh kapasiti pengeluaran tetapi juga membuka peluang kepada pelanggan baharu dan produk automotif yang lebih tinggi marginnya.
“Kilang P1 hingga P3 terus beroperasi dengan kapasiti hampir penuh pada kadar 85 hingga 90 peratus, menyumbang kepada pendapatan teras yang stabil.
“Segmen komunikasi dan Internet Benda (C&I) juga terus kukuh meskipun terdapat kelemahan dolar AS, manakala pelanggan utamanya (Customer F) dijangka terus menyokong pertumbuhan melalui penggunaan tinggi merentasi tujuh barisan pengeluaran,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.
Aurelius Technologies juga aktif mempelbagaikan pelanggannya dengan menambah pelanggan baharu dalam segmen automotif, pengkomputeran data dan peranti elektronik, sekali gus mengurangkan kesan turun naik kitaran perniagaan.
Menurut Maybank IB, Aurelius Technologies mengekalkan daya tarikan sebagai peluang pelaburan kerana mempunyai asas operasi yang stabil, pangkalan pelanggan global yang niche, dan strategi pertumbuhan jelas melalui Plant 5.
“Peningkatan pengeluaran dan penyelesaian pembuatan sehenti dijangka membolehkan pengambilan produk dan pelanggan baharu, meningkatkan pendapatan dan keuntungan bersih secara berperingkat,” katanya.
Maybank IB mengekalkan saranan beli dan sasaran harga 12 bulan pada RM1.17, menawarkan potensi kenaikan 36 peratus dari harga semasa RM0.88.
Syarikat dijangka mencatatkan pendapatan RM692 juta pada 2026 dengan keuntungan bersih teras RM72.5 juta, meningkat daripada RM62.3 juta pada 2025.
Risiko utama termasuk penurunan volum pesanan pelanggan, kelemahan dolar AS, peningkatan kos operasi seperti tenaga kerja dan utiliti, serta ketiadaan insentif cukai. - DagangNews.com








