Pelan Induk ECER 2.0 hasilkan pelaburan RM55 bilion, wujudkan 79,000 peluang kerja bagi tempoh 2018–2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelan Induk ECER 2.0 hasilkan pelaburan RM55 bilion, wujudkan 79,000 peluang kerja bagi tempoh 2018–2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Jan – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menamatkan Pelan Induk ECER 2.0 bagi tempoh 2018–2025 dengan prestasi pelaburan kukuh, pelaksanaan projek mengikut jadual, serta kemajuan sosioekonomi yang memberangsangkan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata pencapaian ini menjadi asas kepada pelaksanaan Pelan Pembangunan ECER 2026–2030 (EDP 2026–2030).

 

“Dalam tempoh pelaksanaan EMP 2.0, ECERDC melepasi sasaran pelaburan yang ditetapkan dengan pelaburan komited sebanyak RM75 bilion dan pelaburan direalisasikan RM55 bilion, melebihi sasaran RM70 bilion dan RM49 bilion.

 

“Lebih 79,000 peluang pekerjaan dan 25,000 peluang keusahawanan telah diwujudkan, menyokong pertumbuhan industri, penglibatan komuniti, dan pendapatan di Kelantan, Terengganu, Pahang serta daerah Mersing dan Segamat di Johor,” katanya dalam satu kenyataan.

 

EMP 2.0 turut mencatat perubahan positif dalam corak populasi dan migrasi di Pantai Timur, mencerminkan peningkatan tahap daya huni (liveability) dan peluang pekerjaan di wilayah ini. 

 

Selepas sekian lama mencatatkan migrasi keluar bersih (net out-migration), ECER merekodkan aliran masuk migrasi pada tahun 2024. Walaupun pelbagai faktor menyumbang kepada perubahan ini, peluasan peluang pekerjaan, penambahbaikan kesalinghubungan dan pelaksanaan projek pembangunan utama di bawah EMP 2.0 telah memainkan peranan sokongan yang signifikan. 

 

Lebih separuh daripada pergerakan migrasi ini melibatkan migrasi intra-negeri, menandakan pengekalan tenaga kerja tempatan yang lebih kukuh.

 

Dalam pada itu, beliau berkata pada 2025, ECERDC merealisasikan pelaburan sebanyak RM10.01 bilion, mengatasi sasaran tahunan RM10 bilion dan menjana 5,300 peluang pekerjaan.

 

t

 

“Sektor pembuatan menjadi penyumbang utama dengan RM6.2 bilion (61.9%), diikuti minyak dan gas RM2.2 bilion (22.2%), pelancongan RM1.1 bilion (10.8%), pertanian RM471 juta (4.7%) dan perkhidmatan RM37 juta (0.4%).

 

“Dari segi geografi, Pahang menerajui pelaburan direalisasikan dengan RM7.35 bilion, diikuti Terengganu RM1.41 bilion, Kelantan RM1.13 bilion, dan Mersing serta Segamat RM121 juta,” katanya.

 

Projek utama termasuk loji petrokimia RM1.5 bilion di Pahang, kilang pulverised quartz RM638.6 juta di Terengganu, dan projek jana kuasa hidro mini 84 MW RM1 bilion di Kelantan. Pelaksanaan Lembah Tenusu Jemaluang RM91 juta di Johor turut memperkukuh keterjaminan makanan dan rantaian nilai tenusu domestik.

 

Selain pelaburan direalisasikan, pelaburan komited berjumlah RM12.4 bilion menunjukkan saluran pelaburan masa depan yang mampan, terutamanya dalam sektor pembuatan (RM9.7 bilion), perkhidmatan dan pertanian (RM1.1 bilion), pelancongan (RM500 juta), serta minyak dan gas (RM1.5 juta).

 

Projek tenaga boleh diperbaharui, termasuk hidro mini, solar terapung, dan solar berskala besar, turut dibangunkan secara signifikan.

 

Beberapa projek pemangkin utama siap pada 2025, termasuk Lembah Tenusu Jemaluang di Mersing, Fasa 1B Kompleks PKS Taman Biopolimer Kerteh, jalan penghubung Lapangan Terbang Kuala Terengganu ke pusat bandar, serta naik taraf Pusat Konservasi dan Informasi Penyu (TCIC) Cerating. 

 

Projek-projek ini meningkatkan kesiapsiagaan industri, keselamatan makanan, infrastruktur pelancongan dan kesalinghubungan wilayah.

 

Kerja-kerja pembangunan lain juga berjalan lancar, termasuk Taman Perindustrian Malaysia–China Kuantan (MCKIP) 3, Projek Promenad Pusat Bandar Kuala Terengganu, naik taraf jalan akses ke Taman Negara Johor Endau-Rompin, dan pembinaan Jambatan Palekbang–Kota Bharu di Kelantan yang dijangka siap 2027.

 

Dengan tamatnya EMP 2.0, ECERDC kini menumpukan fasa pembangunan seterusnya melalui EDP 2026–2030, menekankan industri bernilai tinggi, keselamatan makanan, pelancongan mampan, tenaga boleh diperbaharui dan kesalinghubungan logistik.

 

Selain itu beliau berkata kemajuan berterusan dalam pelaburan, infrastruktur dan peluang pekerjaan mencerminkan keberkesanan pendekatan pembangunan ECER, yang mengukuhkan asas ekonomi serantau serta kesejahteraan rakyat. 

 

“Menjelang EDP 2026–2030, fokus akan diberikan kepada pelaburan berkualiti tinggi dan pembangunan yang inklusif serta mampan,” katanya. - DagangNews.com