Pegawai Invest Sabah diberi amaran tegas, hentikan kerja sambil lewa atau diambil tindakan - Roger Chin | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pegawai Invest Sabah diberi amaran tegas, hentikan kerja sambil lewa atau diambil tindakan - Roger Chin

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Jan – Semua kakitangan dan pegawai Invest Sabah Bhd diberi amaran agar segera menghentikan amalan kerja sambil lewa yang berlaku sebelum ini.

 

Pengerusi Invest Sabah yang baru dilantik, Roger Chin juga mengingatkan mereka agar kekal fokus dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk memastikan setiap tugas diselesaikan dengan efisien.

 

Beliau menegaskan jawatan pengerusi yang diterimanya itu bukan hanya simbolik, tetapi akan digalas dengan penuh komited untuk memastikan Invest Sabah benar-benar menjalankan peranan pentingnya dalam memajukan ekonomi negeri.

 

“Tiada lagi alasan kelewatan atau birokrasi yang membolehkan kerja tertangguh. Tiada lagi pembaziran atau penyalahgunaan hak istimewa. 

 

“Setiap ringgit yang dibelanjakan adalah wang rakyat dan setiap kita mesti dipertanggungjawabkan dengan amanah ini,” katanya ketika berucap dalam perjumpaan bersama warga Invest Sabah.

 

Dalam masa sama beliau memberi jaminan mana-mana pegawai yang serius bekerja dengan profesionalisme yang tinggi,  membuat keputusan wajar akan disokong sepenuhnya.

 

Sebaliknya, mereka yang mengelak tanggungjawab, gagal bertindak atau secara konsisten tidak memenuhi standard akan diambil tindakan tegas tegas.

 

“Wang yang dibelanjakan ini bukan milik peribadi. Bukan milik saya atau milik anda atau milik keluarga. Ini adalah wang rakyat. Setiap keputusan dan perbelanjaan akan dinilai dengan teliti,” katanya.

 

Beliau dengan tegas meminta semua kakitangan dan pegawai supaya memahami peranan mereka dalam Invest Sabah dan menuntut profesionalisme tinggi.

 

“Berusahalah sekuat yang mungkin dengan disiplin, usaha maksimum, dan rasa bertanggungjawab dengan setiap tindakan yang dibuat.

 

“Tak dinafikan kesilapan boleh berlaku, tetapi tindakan yang sengaja dilakukan secara berulang yang mengelak tanggungjawab tidak akan diterima sama sekali. Mereka yang gagal memenuhi standard akan diberi pilihan untuk berubah atau meninggalkan organisasi ini,” katanya.

 

Chin menekankan bahawa Invest Sabah wujud untuk menarik pelabur asing, memudahkan pelaburan mereka, dan memberi input berasaskan fakta untuk dasar ekonomi negeri.

 

“Kejayaan GLC tidak lagi diukur melalui kenyataan media atau angka pelaburan semata-mata, tetapi melalui hasil nyata, pelabur yang kekal, dan masalah yang diselesaikan dengan cepat.

 

“Segala misi pelaburan kini mesti ada strategi jelas, sasaran spesifik, dan pipeline pelaburan aktif. Aktiviti yang tidak menghasilkan keputusan konkrit akan dihentikan.

 

“Pelabur tidak menunggu organisasi yang lambat dan tidak berkesan. Jika kita tidak serius, modal akan pergi, dan ia tidak akan kembali,” katanya. - DagangNews.com