KUALA LUMPUR 14 Jan – Rexit Berhad secara rasmi dijenamakan semula sebagai OpenMove AI Berhad, menandakan peralihan strategik kumpulan itu daripada perkhidmatan perisian tradisional kepada penyedia rumusan transformasi digital dijana kecerdasan buatan (AI).
Dalam satu kenyataan, OpenMove AI berkata penjenamaan semula itu mencerminkan evolusi syarikat sebagai rakan transformasi digital menyeluruh yang memanfaatkan AI, awan, data dan automasi.
Pengerusinya, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, penjenamaan semula itu dibina atas legasi kukuh syarikat sebagai penyedia Perisian sebagai Perkhidmatan (SaaS) terkemuka dalam sektor perkhidmatan kewangan dan insurans.
“Peralihan kepada OpenMove AI menandakan perkembangan semula jadi organisasi kami untuk meluaskan pasaran serta mempelbagaikan aliran pendapatan. Ia juga mencerminkan peluasan strategik kami ke dalam pembangunan dan pelaksanaan penyelesaian transformasi digital dipacu AI, melangkaui penyampaian perisian kepada platform pintar yang membantu organisasi mentransformasikan proses, tadbir urus dan pembuatan keputusan pada skala besar,” katanya.
Menurut Rizam, walaupun perniagaan teras SaaS kekal sebagai keutamaan, OpenMove AI kini giat membangunkan penyelesaian transformasi digital berasaskan AI merentasi pelbagai sektor termasuk platform perusahaan, kecerdasan data, logistik dan pendigitalan sektor awam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gallen Lee Choon Teng berkata, syarikat sedang melabur dalam bakat dan teknologi bagi membangunkan penyelesaian AI yang boleh diguna pakai merentas industri, disokong keupayaan pelaksanaan serta kepakaran domain yang kukuh.
“Dalam masa terdekat, syarikat akan melancarkan beberapa penyelesaian proprietari berasaskan AI bagi menyokong agenda transformasi kami dan mewujudkan nilai mampan kepada para pemegang saham,” katanya. - DagangNews.com








