KUALA LUMPUR 14 Jan – Ninja Van Malaysia menyasarkan pertumbuhan volum 5 hingga 10% tahun ini, didorong terutamanya oleh pengembangan logistik perniagaan ke perniagaan (B2B) bersepadu, peluasan perkhidmatan penghantaran muatan separa lori (LTL) dan muatan penuh lori (FTL), selain peningkatan kapasiti rantaian sejuk bagi segmen perniagaan ke pengguna (B2C).
Ketua Pegawai Eksekutif Ninja Van Malaysia, Lin Zheng berkata, pertumbuhan itu berpunca daripada keperluan pelanggan yang semakin pelbagai merangkumi rentas sempadan, pergudangan serta penghantaran berskala kecil hingga besar, hasil keupayaan yang dibina syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Syarikat mencadangkan pertumbuhan 5–10% tahun ini, dan pemacu utamanya ialah pertumbuhan dalam logistik B2B bersepadu. Pelanggan kini mempunyai keperluan logistik yang lebih luas dan kami memperluaskan liputan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Jalan Ke Hadapan: Wawasan dari Tahun 2025 & Keutamaan untuk 2026 Ninja Van Malaysia di sini, hari ini.
Menurut Lin Zheng, Ninja Van telah berkembang daripada B2B restock kepada LTL dan FTL, membolehkan syarikat menyokong rantaian bekalan pelanggan secara menyeluruh.
“Apabila kami meliputi lebih banyak keperluan pelanggan, di situlah pertumbuhan berlaku,” katanya.
Mengulas prestasi operasi, beliau berkata, Ninja Van mengendalikan volum bungkusan pada skala puluhan juta pada tahun lalu, namun jumlah tepat tidak didedahkan.
Dari segi rantaian sejuk, Ninja Van merekodkan sekitar 100,000 penghantaran bulanan pada tahun lalu dan berpotensi meningkatkan kapasiti sehingga 50% atau lebih tahun ini, tertakluk kepada kadar penerimaan pelanggan.
“Rantaian sejuk di B2C menunjukkan potensi tinggi, khususnya produk makanan sedia dimakan seperti daging perapan. Kami membolehkan penjual menjual secara dalam talian dan menghantar ke seluruh Malaysia,” katanya.
Menyentuh isu Budi 95, Lin Zheng berkata, terdapat kesan ke atas sebahagian pemandu bebas yang bergantung kepada peruntukan semasa.
“Syarikat telah menyalurkan maklum balas melalui persatuan kepada Kementerian Kewangan dan difahamkan cadangan sedang diteliti,” katanya.
Dari sudut pasaran, beliau berkata tabiat pembelian dalam talian pengguna Malaysia semakin kukuh, menyokong pertumbuhan organik walaupun berdepan persekitaran harga penghantaran yang kompetitif.
Ninja Van kini meliputi Semenanjung Malaysia dengan fokus pengembangan lanjut di wilayah ini sebelum memasuki Malaysia Timur pada masa sesuai.
Bagi bahagian rantaian sejuk, Lin Zheng menganggarkan pegangan pasaran Ninja Van berada pada satu digit secara keseluruhan, namun dari segi bahagian pasaran boleh alamat, syarikat berada pada paras belasan tinggi.
Mengulas strategi menarik lebih ramai pemain e-dagang, beliau berkata, Ninja Van menumpukan penawaran rangkaian perkhidmatan hujung ke hujung melangkaui penghantaran batu terakhir, termasuk pemerolehan e-dagang, rentas sempadan, rantaian sejuk dan B2B.
“Ramai pelanggan bermula kecil dalam talian, kemudian berkembang ke runcit dan eksport. Jika kami menyokong perjalanan pertumbuhan mereka, kami boleh berkembang bersama,” katanya.
Dengan asas keupayaan sedia ada dan tumpuan kepada B2B bersepadu serta rantaian sejuk, Ninja Van optimis memperkukuh kedudukan dalam landskap logistik tempatan sepanjang 2026. - DagangNews.com








