Nilai saham 99 Speed Mart terlalu tinggi, RHB Research turunkan penarafan kepada 'neutral' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nilai saham 99 Speed Mart terlalu tinggi, RHB Research turunkan penarafan kepada 'neutral'

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 JanRHB Research menurunkan penarafan 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad kepada 'neutral' daripada 'beli', tetapi menaikkan harga sasaran kepada RM4.06 berbanding RM3.56.


Menurut firma penyelidikan tersebut, perubahan berkenaan susulan penilaian saham syarikat itu yang disifatkan semakin tinggi dan sudah banyak mengambil kira pelbagai faktor positif ketika ini.


Walaupun prospek sektor pengguna kekal kukuh disokong penggunaan domestik yang berdaya tahan dan hasil lebih terlindung daripada risiko luaran, penilaian 99 Speed Mart kini dilihat kurang menarik.


"Kami berpandangan yang potensi kenaikan harga kumpulan peruncitan ini sekitar 5% sahaja, di samping hasil dividen kira-kira 2% bagi FY26," kata RHB Research dalam nota analisisnya hari ini.


Tambahnya, harga sasaran itu diperoleh daripada penilaian aliran tunai terdiskaun (DCF) selepas semakan semula andaian risiko mencerminkan penarafan penilaian saham pengguna berasaskan kecairan.


Jelas firma berkenaan, penilaian tersebut membayangkan nisbah nisbah harga kepada pendapatan (P/E) kira-kira 46 kali bagi FY26, sejajar penilaian rakan setaranya seperti Nestlé (Malaysia) Berhad.


Sehubungan itu kata RHB Research, unjuran berkenaan dianggap sebagai wajar memandangkan prospek pertumbuhan pendapatan 99 Speed Mart yang kukuh serta sentimen positif terhadap sektor pengguna.


"Dari segi prospek, kami berpandangan yang peningkatan peruntukan fiskal kerajaan bagi inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada 2026 adalah positif kepada kumpulan ini sendiri," tambahnya.


Syarikat berkenaan jelasnya, kini mempunyai lebih 2,000 cawangan yang diaktifkan di bawah inisiatif bantuan kredit tersebut dan menyasarkan untuk dapat menambah lebih banyak lagi premis penyertaan.


99 Speed Mart ujar RHB Research, berada di kedudukan strategik meraih manfaat daripada peningkatan pendapatan boleh guna golongan pengguna yang bergaji rendah untuk berbelanja di rangkaian kedainya.


Selain itu, trend corak perbelanjaan akibat tekanan inflasi turut membantunya, sambil menekankan kelebihan rangkaian yang luas serta kecenderungan pengguna membeli barangan runcit di pasar mini.


"Dalam jangka panjang, pertumbuhan hasil dijangka disokong strategi pengembangan pasaran, termasuk kepelbagaian sumber bekalan, pembangunan platform jualan pukal dan perluasan operasi," katanya.


Bagaimanapun, RHB Research memberi amaran risiko reputasi atau jenama, serta sebarang perubahan yang tidak memihak kepada pelaksanaan inisiatif SARA boleh menjejaskan 99 Speed Mart. - DagangNews.com