KUALA LUMPUR 19 Jan – RHB Research mengekalkan pandangan ‘overweight’ terhadap sektor pengguna Malaysia untuk 2026, dengan menyatakan sektor ini kekal defensif dan berpotensi memberi pulangan stabil di tengah ketidaktentuan pasaran.
Firma penyelidikan itu berkata sektor ini dijangka mendapat manfaat daripada dasar kerajaan, SST sewaan yang lebih rendah kepada 6%, pengukuhan ringgit, serta kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang mensasarkan 47 juta pelawat berbanding 38 juta pada 11 bulan pertama 2025.
“Sektor ini menjadi pelaburan defensif kerana syarikat pengguna utama mempunyai pendapatan berteraskan domestik dan mampu menahan turun naik pasaran global. Pemulihan aliran tunai dan keyakinan pelabur dijangka menyokong penilaian semula saham-saham utama.
“Kami memilih saham seperti Nestle (RM135), Farm Fresh (RM3.26), Eco-Shop Marketing (RM1.81), AEON Co M (RM1.46) dan MyNews (RM0.80) disenaraikan sebagai pilihan utama kerana potensi pertumbuhan yang kukuh dan asas pendapatan berfokus domestic,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.
Nestle dijangka mencatat pertumbuhan keuntungan berulang sebanyak 19% pada 2026, disokong oleh margin yang pulih daripada kos input yang lebih rendah dan pengukuhan ringgit.
RHB Research berkata Farm Fresh pula menunjukkan prospek pertumbuhan jangka panjang melalui pengembangan serantau dan pengeluaran ais krim baharu di Bandar Enstek, Negeri Sembilan yang dijangka menyumbang secara komersial pada pertengahan 2026.
“Eco-Shop Marketing dijangka mendapat manfaat daripada pertumbuhan pesat industri kedai barangan keperluan, margin kasar yang tinggi, dan pelan pengembangan pantas yang akan menyokong keuntungan jangka pendek yang kukuh.
“AEON Co M pula dijangka mendapat manfaat daripada sentimen pengguna yang meningkat, kadar SST sewaan yang lebih rendah kepada 6%, penjimatan kos utiliti, dan kos penyelenggaraan kedai yang lebih rendah pada 2026,” katanya.
Selain itu, MyNews pula diyakini akan menikmati pertumbuhan jenama yang mantap, serta pembukaan cawangan baru dan operasi pemprosesan makanan yang lebih efisien.
WH Smith juga dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan jumlah pelancong.
RHB Research menekankan inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA), dengan peruntukan RM1.2 bilion pada 2026, akan mendorong perbelanjaan pengguna dalam sektor ini.
“99 Speed Mart dan Nestle dijangka menjadi penerima utama berikutan rangkaian operasi yang luas dan ekuiti jenama yang kukuh.
“Eco-Shop Marketing, Mr DIY dan MyNews juga akan mendapat manfaat menerusi inisiatif ini.
“Kempen TMM 2026 yang mensasarkan 47 juta pelawat berbanding 38 juta pada 11 bulan pertama 2025 dijangka meningkatkan trafik runcit, memberi kesan positif kepada MyNews dan syarikat bir seperti Heineken Malaysia dan Carlsberg Brewery,” kata RHB Research.
Penurunan SST sewaan dari 8% ke 6% dan peningkatan ambang pengecualian kepada RM1.5 juta dari RM1 juta memberi manfaat kepada syarikat runcit seperti Padini, MyNews, AEON dan Focus Point, yang mempunyai pendedahan tinggi di pusat membeli-belah.
RHB Research menyatakan sektor pengguna mencatat keputusan suku ketiga 2025 selaras jangkaan, dengan sentimen pengguna mula pulih daripada kesan tarif Amerika Syarikat pada suku kedua.
“Jualan suku keempat 2025 dijangka meningkat secara berperingkat. Faktor risiko termasuk penurunan sentimen pengguna, kemerosotan ekonomi domestik yang ketara, dan kenaikan mendadak harga komoditi,” katanya. - DagangNews.com








