Marine & General bentuk JV fokus penyelenggaraan dan MRO kapal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Marine & General bentuk JV fokus penyelenggaraan dan MRO kapal

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 16 Jan – Marine & General Berhad (M&G) terus memperkukuh kedudukannya dalam industri marin tempatan apabila menubuhkan sebuah syarikat usaha sama (JV) yang memfokuskan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) kapal.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, ia dilaksanakan anak syarikanya, M&G Marine Services Sdn Bhd (MGMS), bersama anak syarikat pegangan 70%, Jasa Merin (Malaysia) Sdn Bhd (JMM), menerusi perjanjian usaha sama (JVA) dengan Nautica Energy Services Sdn Bhd (NES).

 

Susulan perjanjian itu, ketiga-tiga pihak bersetuju untuk menubuhkan sebuah syarikat usaha sama dikenali sebagai Jasa Merin Engineering Sdn Bhd (JME) bagi menjalankan perniagaan berkaitan penyelenggaraan, pembaikan dan dok kapal, serta perkhidmatan sokongan operasi marin.

 

Menurut M&G, JME akan ditubuhkan dengan modal berbayar RM500,000, terdiri daripada 500,000 saham biasa pada RM1 setiap satu. 

 

Pegangan ekuiti dalam syarikat usaha sama itu akan dipegang oleh MGMS sebanyak 51%, JMM 19% dan NES 30%, dan struktur pegangan tersebut akan kekal sepanjang tempoh JVA melainkan dipersetujui sebulat suara oleh semua pihak.

 

Lembaga pengarah JME pula akan dianggotai oleh empat orang pengarah, iaitu dua wakil MGMS, seorang wakil JMM dan seorang wakil NES.

 

M&G berkata, penubuhan usaha sama itu menyediakan rangka kerja berstruktur untuk meningkatkan pengurusan aktiviti penyelenggaraan armada JMM, termasuk pengenalan berperingkat analitik ramalan, penggunaan alat penyelenggaraan digital terpilih serta inisiatif pembangunan tenaga kerja yang lebih bersasar.

 

“Langkah ini dijangka meningkatkan perancangan dan pengawasan penyelenggaraan, sekali gus berpotensi menambah baik kebolehpercayaan kapal dan mengurangkan masa henti tidak dirancang,” menurut syarikat itu.

 

Selain itu, usaha sama tersebut membolehkan JMM menyertai secara langsung segmen MRO dalam industri marin dan kejuruteraan domestik, sekali gus membangunkan keupayaan kejuruteraan dalaman bagi menyokong penyelenggaraan dan pembaikan armadanya sendiri. Ini berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada penyedia perkhidmatan pihak ketiga serta meningkatkan ketelusan dan kawalan kos.

 

Dari sudut kewangan, M&G menegaskan usaha sama itu tidak akan memberi kesan kewangan material kepada kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2026, selain tidak menjejaskan modal saham, pegangan pemegang saham utama, aset bersih sesaham, pendapatan sesaham atau tahap gearing kumpulan bagi tempoh berkenaan.

 

Lembaga pengarah M&G berkata, selepas mempertimbangkan semua faktor berkaitan, kemasukan ke dalam JVA serta penubuhan JME adalah demi kepentingan terbaik syarikat, dan tiada kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa diperlukan bagi merealisasikan usaha sama tersebut. - DagangNews.com