KUALA LUMPUR 20 Jan — Cabaran sengit berterusan dalam industri sarung tangan di pasaran global terus menjadi isu kritikal yang dikhuatiri boleh menekan margin Kossan Rubber Industries Berhad.
Bagaimanapun Public Investment Bank berpandangan prospek operasi kumpulan itu kekal stabil, disokong pemulihan volum secara berperingkat dan inisiatif pengoptimuman kos yang dilaksanakan.
Penilaian itu susulan pertemuan dengan Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kossan, Tan Sri Lim Kuang Sia, dan berdasarkan analisis firma tersebut sepanjang tahun lepas.
"Justeru, kami mengekalkan saranan 'outperform' ke atas saham syarikat ini, namun menyemak turun harga sasaran kepada RM1.50 daripada RM2.33 sebelum ini," jelasnya dalam nota kajian hari ini.
Semakan itu kata PublicInvest, berasaskan gandaan 1.0 kali nilai buku purata sejarah setahun, berbanding 1.6 kali sebelum ini, mengambil kira persekitaran industri yang masih lagi kompetitif.
Menurutnya, Kossan menjangkakan pertumbuhan volum sekitar 10% hingga 15% bagi FY26, disokong buku tempahan yang sudah diisi serta hampir siapnya sebuah loji sarung tangan getah asli baharu.
Harga jualan purata (ASP) pula tambahnya, kekal kompetitif pada sekitar AS$17 (RM68) bagi setiap 1,000 unit di pasaran Amerika Syarikat (AS) manakala AS$15.5 (RM63) di negara-negara Eropah.
"Para pembeli masih sanggup membayar premium bagi sarung tangan buatan Malaysia berikutan tahap konsisten kualiti yang lebih baik daripada keluaran negara-negara lain," tambah PublicInvest.
Di samping itu jelas firma penyelidikan itu, kadar keterlihatan pendapatan Kossan turut disokong pelan peningkatan kecekapan operasi, termasuk rasionalisasi tenaga kerja dan sistem automasi.
Pengurusan menyasarkan penjimatan kos sekitar RM1,000 bagi setiap sejuta unit, selain rancangan mengurangkan jumlah pekerja kepada bawah 3,000 orang daripada hampir 5,000 orang ketika ini.
Selain itu kata PublicInvest, potensi pengewangan aset dilihat sebagai pemangkin tambahan, khasnya melibatkan bank tanah seluas 333 hektar di Bidor, Perak dan 23 hektar di Bestari Jaya, Selangor.
"Langkah tersebut mempunyai kos pemerolehan rendah dan berpotensi menjana keuntungan pelupusan yang ketara, manakala bagi FY25, kami menjangkakan dividen sebanyak 4 sen sesaham," tambah firma itu.
Unjuran tersebut jelasnya, mencerminkan kadar pembayaran sekitar 80%, dan Kossan kekal kukuh dari segi kewangan dengan kedudukan tunai bersih sebanyak RM1.6 bilion setakat akhir September 2025.
Dari sudut risiko pertukaran asing pula, PublicInvest menyatakan pendedahan syarikat ini adalah agak terhad, memandangkan kos bahan mentah turut berkait dengan penyusutan nilai dolar AS.
Sebahagian tempahan bagi 1QFY26 juga dilindung nilai pada kadar sekitar RM4.15 berbanding AS$1, sekali gus mengurangkan risiko turun naik mata wang dalam jangka terdekat. - DagangNews.com








