Malaysia Airlines, Singapore Airlines muktamadkan perkongsian perniagaan bersama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia Airlines, Singapore Airlines muktamadkan perkongsian perniagaan bersama

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 29 Jan – Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Singapore Airlines (SIA) mengesahkan pemuktamadan perkongsian perniagaan bersama selepas menerima kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pada Januari 2026 serta kelulusan Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura pada Julai 2025.

 

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, MAB dan SIA berkata, kelulusan berkenaan membolehkan kedua-dua syarikat penerbangan itu memulakan pelaksanaan secara berperingkat bagi memperkukuh kerjasama komersial dan menawarkan fleksibiliti lebih besar kepada pelanggan yang melakukan perjalanan antara Malaysia dan Singapura.

 

Menurut kenyataan itu, inisiatif yang sedang diteroka termasuk perkongsian hasil penerbangan antara kedua-dua negara, produk tambang bersama, penyelarasan jadual penerbangan serta pengaturan perjalanan korporat bersama merentasi pasaran Malaysia dan Singapura.

 

Perincian lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa apabila inisiatif tersebut dilaksanakan.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Kapten Izham Ismail berkata, pemuktamadan perkongsian strategik bersama Singapore Airlines merupakan langkah penting dalam merealisasikan Pelan Perniagaan Jangka Panjang kumpulan 3.0 serta meletakkan Malaysia Airlines pada fasa pertumbuhan seterusnya.

 

“Kerjasama ini menghimpunkan kekerapan penerbangan yang saling melengkapi dan jadual yang diselaraskan, sekali gus membolehkan kesalinghubungan yang lebih mendalam antara Malaysia dan Singapura. Dalam jangka masa panjang, ia mengukuhkan kedudukan daya saing Malaysia Airlines melalui peningkatan skala, kerelevanan dan daya tahan rangkaian di pasaran utama,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Singapore Airlines, Goh Choon Phong berkata, kelulusan daripada pihak berkuasa di kedua-dua negara membuka laluan kepada kerjasama strategik yang lebih mendalam antara SIA dan Malaysia Airlines.

 

“Kerjasama menang-menang ini mengukuhkan operasi kedua-dua syarikat penerbangan, di samping memberikan nilai tambah kepada pelanggan merentasi rangkaian gabungan syarikat. Ia juga memperkukuh hubungan rakyat dan perdagangan yang telah lama terjalin antara Singapura dan Malaysia, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesalinghubungan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.

 

Sejak menandatangani perjanjian pada Oktober 2019, MAB dan SIA telah memperluas pengaturan perkongsian kod secara berperingkat.

 

Ketika ini, SIA berkongsi kod pada perkhidmatan Malaysia Airlines antara Kuala Lumpur dan Singapura, London (Heathrow) serta 15 destinasi domestik di Malaysia.

 

Sebaliknya, MAB berkongsi kod pada perkhidmatan SIA antara Singapura dan Kuala Lumpur serta Pulau Pinang, selain penerbangan dari Singapura ke Barcelona, Brussels, Cape Town, Copenhagen, Istanbul, Johannesburg, London (Heathrow), Rome dan Zurich.

 

“Pada Februari 2024, kedua-dua syarikat penerbangan itu turut memperkenalkan penyertaan silang timbal balik dalam program kesetiaan masing-masing, membolehkan ahli memperoleh mata Enrich dan KrisFlyer bagi penerbangan terpilih yang dikendalikan oleh kedua-dua syarikat,” menurut kenyataan itu. - DagangNews.com