KUALA LUMPUR 9 Jun - Malaysia Smelting Corp Bhd (MSC) berada di landasan tepat untuk memulakan operasi loji pengumpulan semula sisa pasir pada suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26), yang dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran perlombongan sehingga 50% serta mengukuhkan bekalan bahan mentah yang dijana sendiri.
Apex Securities berkata, berdasarkan taklimat pengurusan yang diadakan baru-baru ini, MSC menyasarkan pengambilan bijih sekitar 21,000 tan bagi FY26, sekali gus menyokong pemulihan beransur-ansur kadar penggunaan kapasiti peleburan kumpulan itu.
Menurut firma penyelidikan berkenaan, apabila loji tersebut mencapai kapasiti operasi penuh, pengeluaran perlombongan dijangka meningkat daripada kira-kira 10 tan sehari kepada antara 14 hingga 15 tan sehari, mewakili pertumbuhan output sekitar 40% hingga 50%.
"Kami menjangkakan sebahagian besar peningkatan pengeluaran itu akan diterjemahkan kepada keuntungan memandangkan keperluan tambahan dari segi tenaga kerja dan penggunaan tenaga adalah minimum.
"Perkembangan ini positif kerana ia mempercepatkan strategi MSC untuk meningkatkan bekalan bahan mentah yang dijana sendiri selain memperkukuh keuntungan dan kemampanan operasi perlombongan," katanya dalam nota penyelidikan.
Firma penyelidikan itu berkata, kemudahan baharu tersebut turut membolehkan konsentrat bijih diproses menjadi logam timah mentah di tapak lombong sebelum dihantar ke loji peleburan MSC di Pulau Indah bagi proses penapisan akhir.
Selain meningkatkan kecekapan logistik dan mengurangkan kos pengangkutan, pihak pengurusan menganggarkan projek berkenaan mampu membebaskan kira-kira 10 tan sehari kapasiti peleburan di kemudahan Pulau Indah.
Apex Securities berpandangan langkah itu akan mengukuhkan integrasi menegak MSC di sepanjang rantaian nilai timah, di samping meningkatkan penggunaan aset sedia ada dan menyediakan fleksibiliti lebih besar untuk menampung pertumbuhan bekalan bahan mentah pada masa hadapan.
"Ini memberi ruang kepada MSC untuk meningkatkan skala operasi dengan lebih cekap sambil mengurangkan kebergantungan kepada sumber bahan mentah pihak ketiga," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY26 hingga FY27 kerana perkembangan operasi yang dikongsi pihak pengurusan adalah sejajar dengan jangkaan sedia ada.
Menurutnya, sumbangan pendapatan daripada projek loji sisa pasir dan inisiatif berkaitan telah pun diambil kira dalam model ramalan semasa, justeru tiada perubahan dibuat terhadap anggaran kewangan kumpulan.
Apex Securities mengekalkan saranan 'Beli' terhadap saham MSC dengan harga sasaran RM3.06 sesaham.
Firma itu terus menyukai prospek MSC berdasarkan kedudukannya sebagai pelebur timah bebas terbesar dunia, pertumbuhan berterusan dalam bekalan bahan mentah yang dijana sendiri serta integrasi yang semakin kukuh merentasi keseluruhan rantaian nilai industri timah.
Selain itu, peningkatan sumbangan daripada segmen perlombongan dijangka memperbaiki kualiti pendapatan kumpulan dan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan pihak ketiga, sekali gus menjadikan pendapatan MSC lebih berdaya tahan berbanding syarikat yang hanya tertumpu kepada aktiviti peleburan.
Bagaimanapun, Apex Securities berkata risiko utama yang perlu diberi perhatian termasuk turun naik harga timah global, gangguan bekalan bahan mentah serta sebarang kelewatan dalam pentauliahan loji sisa pasir yang boleh menjejaskan pemulihan margin dan prestasi operasi syarikat. - DagangNews.com








