Loji biogas 1.2MW TH Plantations, Cenergi SEA pacu tenaga hijau sektor perladangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Loji biogas 1.2MW TH Plantations, Cenergi SEA pacu tenaga hijau sektor perladangan

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 16 Jan – TH Plantations Berhad, dengan kerjasama Cenergi SEA Berhad, telah melaksanakan pentauliahan Loji Janakuasa Biogas Cenergi Lawiang berkapasiti 1.2 megawatt (MW).

 

Ia sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam kerjasama tenaga boleh diperbaharui (RE) antara kedua-dua syarikat serta memperkukuh rumusan sisa-ke-tenaga mampan dalam sektor perladangan.

 

Projek dilaksanakan oleh Cenergi Lawiang Sdn Bhd,  usaha sama (JV) antara TH Plantations Berhad (THP), syarikat perladangan Lembaga Tabung Haji dan Cenergi SEA Berhad (Cenergi), anak syarikat UEM Lestra Berhad.

 

Walaupun loji itu telah mencapai Tarikh Operasi Komersial pada 26 Disember 2025, majlis pentauliahan yang berlangsung baru-baru ini secara rasmi menandakan kesiapsiagaan penuh dan penyempurnaan operasi kemudahan tersebut.

 

Loji biogas berkenaan menggunakan Palm Oil Mill Effluent (POME) untuk menghasilkan tenaga elektrik bersih dan boleh baharu melalui proses pemerangkapan serta penggunaan gas metana. 

 

Pada kapasiti penuh, kemudahan itu mampu menjana tenaga hijau yang mencukupi untuk membekalkan elektrik kepada kira-kira 1,500 buah rumah setahun, di samping mengurangkan sehingga 20,000 tan pelepasan karbon dioksida setahun, bersamaan kesan mengeluarkan lebih 4,000 buah kenderaan dari jalan raya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi SEA Berhad, Ir Kwok Yew Hoe berkata, projek tersebut membuktikan bagaimana agenda kelestarian boleh diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal dan berskala.

 

“Loji Biogas Cenergi Lawiang 1.2 MW menunjukkan bagaimana cabaran alam sekitar boleh ditransformasikan menjadi nilai jangka panjang melalui inovasi dan kerjasama strategik, susulan pemeteraian perjanjian projek antara Cenergi dan THP pada Jun 2024,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut beliau, dengan bermulanya operasi loji tersebut, Cenergi kini mengendalikan 24 loji biogas dengan kapasiti terpasang gabungan sebanyak 41.9 megawatt.

 

“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan THP dalam memajukan teknologi biogas serta menyampaikan penyelesaian tenaga boleh baharu yang memberi impak alam sekitar dan ekonomi kepada Malaysia,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TH Plantations Berhad, Datuk Borhan Bachi berkata, projek berkenaan selari dengan strategi kelestarian kumpulan, khususnya dalam memperkukuh amalan pengurusan sisa dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau merentasi operasi perladangan.

 

“Kemudahan biogas ini membuktikan bagaimana operasi perladangan boleh memainkan peranan aktif dalam menyokong peralihan tenaga Malaysia, di samping meningkatkan kecekapan operasi melalui penggunaan teknologi tenaga boleh baharu,” katanya.

 

Melalui pembekalan elektrik boleh baharu ke grid nasional di bawah skim Tarif Galakan (FiT) kendalian Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), Loji Biogas Cenergi Lawiang menyumbang kepada usaha peralihan tenaga negara, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional serta aspirasi Malaysia untuk mencapai masa depan rendah karbon dan sifar bersih (Net Zero) menjelang 2050.

 

Projek ini turut menjadi contoh kukuh bagaimana kerjasama strategik antara pemaju tenaga boleh baharu dan pengendali perladangan mampu menyokong ekonomi kitaran serta memberikan impak alam sekitar yang bermakna. - DagangNews.com