Larangan kenderaan berat melalui jambatan tanpa data teknikal hanya langkah mudah, bukan penyelesaian kejuruteraan mampan - Pakar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Larangan kenderaan berat melalui jambatan tanpa data teknikal hanya langkah mudah, bukan penyelesaian kejuruteraan mampan - Pakar

Gambar TI Properties
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Jan – Larangan kenderaan berat melebihi lima tan dan had ketinggian 3.5 meter di Jambatan Angkat Kuala Terengganu baru-baru ini terus mencetuskan perdebatan hangat antara keperluan keselamatan segera dan kegagalan perancangan infrastruktur jangka panjang di negara ini.

 

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Law Teik Hua berkata dari sudut keselamatan, tindakan mengehadkan penggunaan jambatan itu boleh dipertahankan sebagai langkah defensif sementara.

 

Menurut beliau, struktur jambatan angkat yang bergantung kepada komponen mekanikal sememangnya lebih terdedah kepada tekanan berterusan daripada kenderaan berat, berbanding jambatan konvensional.

 

Namun, beliau menegaskan bahawa tanpa pendedahan data teknikal yang telus kepada umum, larangan tersebut dilihat sebagai penyelesaian paling mudah, bukan penyelesaian kejuruteraan yang mampan.

 

“Isu sebenar mula terserlah apabila kritikan yang dibangkitkan oleh Persatuan Haulier Malaysia (AMH) menunjukkan wujud masalah sistemik dalam perancangan projek tersebut.

 

“Sebagai sebuah jambatan moden yang siap pada 2019, spesifikasi yang mengehadkan beban kepada hanya lima tan adalah sesuatu yang sukar diterima kerana ia seolah-olah direka untuk era yang sudah berlalu,” katanya ketika dihubungi DagangNews.com.

 

t
Prof Madya Dr Law Teik Hua

 

Beliau berkata, had itu seolah-olah mencerminkan reka bentuk yang berasaskan keperluan lampau, sedangkan sektor logistik kini beroperasi dengan kenderaan yang jauh lebih berat dan kompleks.

 

Menurutnya, situasi itu menjadi bukti kegagalan perancangan strategik yang mahal, khususnya apabila aset awam bernilai tinggi tidak mampu menyokong aktiviti ekonomi semasa.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Larangan lori berat di Jambatan Angkat Kuala Terengganu: Persatuan Haulier persoal perancangan infrastruktur negara

 

“Mengambil pendekatan “larang sahaja” menunjukkan pemikiran yang tidak progresif kerana ia memindahkan kos dan kesulitan kepada pemain industri logistik.

 

“Kesan rantaian daripada sekatan tersebut akhirnya akan ditanggung oleh pengguna melalui peningkatan kos barangan dan perkhidmatan,” katanya.

 

Beliau turut membandingkan keadaan itu dengan contoh infrastruktur bersejarah seperti Jambatan Tower di London, yang dibina lebih seabad lalu tetapi masih relevan dengan aliran trafik moden.

 

“Perbandingan ini membuktikan bahawa dengan perancangan dan kejuruteraan yang betul, infrastruktur boleh direka untuk kekal relevan dalam jangka masa yang sangat panjang,” katanya.

 

Mengulas langkah ke hadapan, beliau berkata tindakan segera yang diperlukan ialah pelaksanaan audit teknikal bebas bagi menentukan kapasiti sebenar jambatan tersebut.

 

t

 

Menurutnya, audit itu penting bagi menilai sama ada sistem pengurusan trafik atau penggunaan berjadual boleh dilaksanakan tanpa menjejaskan keselamatan struktur.

 

Untuk jangka panjang pula, beliau menegaskan bahawa insiden ini perlu menjadi pemangkin kepada perubahan dasar perancangan infrastruktur negara.

 

Katanya, semua projek infrastruktur baharu seharusnya direka berdasarkan keperluan logistik dan ekonomi untuk tempoh sekurang-kurangnya 50 tahun akan datang.

 

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara perancang bandar, jurutera dan pemain industri logistik sejak peringkat konsep projek dimulakan.

 

“Tanpa libat urus awal dengan pihak industri, risiko reka bentuk dan keperluan sebenar ekonomi yang tidak sepadan akan terus berulang,” katanya. - DagangNews.com