Kuota Budi95 kekal pada 200 liter, semakan hanya jika minyak mentah global melebihi AS$200 setong - Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kuota Budi95 kekal pada 200 liter, semakan hanya jika minyak mentah global melebihi AS$200 setong - Amir Hamzah

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 Jun - Kerajaan akan mengekalkan kuota bulanan bahan api bersubsidi sebanyak 200 liter di bawah program Budi Madani RON95 (Budi95) buat masa ini meskipun pasaran tenaga global terus berdepan ketidaktentuan akibat konflik geopolitik yang berlarutan.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, semakan semula kuota hanya akan dipertimbangkan sekiranya harga minyak mentah global (Brent) meningkat secara mendadak kepada antara AS$200 hingga AS$300 setong.

 

Beliau berkata, pengurangan kuota daripada 300 liter kepada 200 liter yang dilaksanakan sebelum ini telah membantu mengawal beban subsidi kerajaan ketika harga tenaga global berada pada paras tinggi.

 

“Kita telah mengurangkan kuota daripada 300 liter kepada 200 liter dan saya fikir langkah itu telah membantu. Jika harga meningkat kepada AS$200 hingga AS$300 setong, maka kita perlu melihat semula keadaan pada waktu tersebut.

 

“Selagi kerajaan mempunyai keupayaan untuk menguruskan keadaan, kita akan terus mengurangkan kesan terhadap rakyat,” katanya pada persidangan Invest Malaysia hari ini.

 

Pada masa ini, harga minyak mentah Brent didagangkan sekitar AS$92.38 setong selepas mencatatkan kenaikan ketara dalam beberapa bulan kebelakangan ini susulan gangguan bekalan global.

 

Mengulas mengenai kedudukan bekalan minyak petrol negara, Amir Hamzah berkata kerajaan terus mendapatkan jaminan bekalan secara berperingkat dan berjaya memastikan bekalan mencukupi sehingga tiga bulan ke hadapan.

 

Menurut beliau, walaupun bekalan dapat dijamin, kerajaan tidak dapat memastikan harga minyak petrol kekal stabil dalam jangka panjang kerana ia masih tertakluk kepada pergerakan pasaran global.

 

Kuota Budi95 dikurangkan kepada 200 liter daripada 300 liter bermula 1 April lalu selepas kos subsidi bahan api negara meningkat kepada kira-kira RM4 bilion sebulan berikutan gangguan bekalan minyak mentah yang berpunca daripada konflik Amerika Syarikat-Iran serta sekatan di Selat Hormuz.

 

Di bawah skim tersebut, rakyat Malaysia yang layak menikmati petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter.

 

Konflik yang kini memasuki bulan keempat itu telah memberi tekanan besar kepada pasaran tenaga global apabila serangan ke atas infrastruktur tenaga dan gangguan perkapalan di Selat Hormuz menjejaskan aliran kira-kira 20% bekalan minyak dan gas dunia.

 

Keadaan tersebut mendorong harga minyak mentah Brent melepasi paras AS$100 setong sebelum ini, sekali gus meningkatkan kos logistik dan harga barangan di banyak negara termasuk Malaysia. - DagangNews.com