KUALA LUMPUR 16 Jan – Khazanah Nasional Bhd bersama-sama anak syarikatnya, Jelawang Capital, mengumumkan pembukaan permohonan bagi penyertaan dalam kohort kedua Program Pengurus Dana (EMP).
Pengarah Urusannya, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, langkah secara berterusan itu sebagai sebahagian daripada usaha serius kumpulan berkenaan memperkukuh ekosistem modal teroka (VC) domestik.
Tambahnya, sejak pemilihan tiga pengurus dana EMP pertama pada Jun 2025, program itu berjaya menarik lebih RM30 juta daripada penyedia modal lain di luar komitmen Jelawang.
Selain itu jelas beliau, Khazanah berjaya menggerakkan pelaburan kolektif melepasi RM60 juta merangkumi lebih 10 syarikat peringkat awal, yang majoritinya merupakan syarikat pemula Malaysia.
“Ini mencerminkan sumbangan EMP dalam menyokong pembangunan pengurus dana baharu serta memperkukuh ekosistem modal teroka tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebagai dana dana nasional Malaysia, Jelawang Capital menyalurkan pelaburan melalui pengurus dana VC di bawah EMP dan Inisiatif Pengurus Dana Serantau (RMI) yang menggunakan pendekatan berprogram bagi memupuk dan mengukuhkan landskap VC negara.
EMP direka untuk menyokong generasi baharu pengurus dana Malaysia dengan menggalakkan penyertaan modal tambahan serta menginstitusikan amalan pengurusan dana yang mampan dan berdaya saing.
Bagi kohort pertama, tiga pengurus dana yang terpilih ialah Vynn Capital, Kairous Capital dan First Move.
Untuk kohort seterusnya, EMP memperkenalkan beberapa penambahbaikan, termasuk Permintaan Cadangan (RFP) secara bergilir, proses penghantaran permohonan yang diperkemas bagi membolehkan permohonan sepanjang tahun, serta penurunan saiz minimum dana bagi strategi pra-benih dan benih.
Program itu turut menawarkan fleksibiliti lebih besar semasa fasa permohonan, khususnya berkaitan kemajuan awal pengumpulan dana.
Khazanah dan Jelawang Capital mempelawa pengurus dana VC Malaysia yang layak dan sedang mengumpul dana pertama, kedua atau ketiga untuk memohon menyertai EMP.
Maklumat lanjut berkaitan permohonan dan kriteria kelayakan boleh didapati di https://www.jelawangcapital.com/emerging-fund-managers-programme-emp - DagangNews.com








