KUALA LUMPUR 20 Jan – Ancom Nylex Berhad mencatatkan pertumbuhan keuntungan bersih sebanyak 34.3 peratus kepada RM38.1 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY26), meskipun pendapatannya merosot kepada RM876.2 juta.
Bagi suku kedua 2026 (2QFY26), syarikat mencatatkan keuntungan bersih RM18.0 juta, meningkat 18.9 peratus berbanding RM15.2 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata pendapatan bagi suku ini pula berjumlah RM428.8 juta, sedikit merosot daripada RM450.7 juta tahun lalu.
“Penyusutan pendapatan itu terutamanya disebabkan oleh sumbangan lebih rendah daripada segmen kimia industri yang terjejas oleh harga jualan purata lebih rendah akibat penurunan harga minyak mentah dunia.
“Bagaimanapun, keuntungan bersih meningkat kerana margin lebih baik dalam segmen bahan kimia pertanian dan kimia industri serta pengurusan cukai yang lebih efisien.
“Peningkatan keuntungan ini mengekalkan momentum positif syarikat pada separuh pertama tahun kewangan ini,” katanya dalam makluman tersebut.
Sementara itu Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Lee Cheun Wei berkata pihaknya berpuas hati dengan prestasi terkini meskipun menghadapi ketidaktentuan pasaran global.
“Permintaan untuk produk syarikat kekal positif selaras dengan musim aplikasi bahan kimia pertanian.
“Satu perkembangan penting bagi syarikat ialah segmen ini telah berjaya mendapatkan kelulusan pendaftaran akhir produk untuk kegunaan pada tanaman soya di Brazil.
“Kelulusan ini membuka pasaran baru yang signifikan kerana kawasan penanaman soya di Brazil dianggarkan lima kali lebih besar berbanding tanaman tebu, yang sebelum ini menjadi fokus syarikat,” katanya.
Dengan kelulusan ini, Ancom Nylex kini bersedia untuk merebut peluang pada musim penanaman soya 2026 dengan kapasiti pengeluaran yang mencukupi.
Tambahnya, syarikat akan terus berhati-hati dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran global, perkembangan perdagangan dan isu geopolitik yang berterusan. - DagangNews.com








