Ketiadaan Baucar Buku Madani jejaskan untung bersih Sasbadi hanya RM5.8 juta bagi 1QFY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketiadaan Baucar Buku Madani jejaskan untung bersih Sasbadi hanya RM5.8 juta bagi 1QFY26

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 Jan - Sasbadi Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM5.816 juta bagi suku pertama berakhir 30 November 2025, naik sedikit berbanding RM5.805 juta bagi 1QFY25.


Prestasi ini didorong terutamanya oleh margin keuntungan lebih baik daripada jualan buku dalam suku semasa berbanding daripada jualan di bawah program Baucar Buku Madani pada tempoh sama sebelum itu.


Kumpulan penerbitan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, ia merekodkan pendapatan sebanyak RM31.311 juta, susut 8.07% berbanding RM34.06 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. 


"Kejatuhan ini berpunca susulan ketiadaan jualan program Baucar Buku Madani yang berlangsung dari Mei hingga Disember 2024, namun diimbangi oleh tempahan sekolah lebih kukuh," kata Sasbadi.


Selain itu, kumpulan berkenaan menerima sumbangan RM4.674 juta daripada anak syarikat baharu, Edu Paper and Stationery Sdn Bhd, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) pula meningkat sedikit.


Situasi ini menjadikan untung kasar bagi 1QFY26 meningkat kepada RM8.144 juta berbanding RM7.844 juta pada suku tahun sebelum ini, hasil daripada kecekapan margin jualan walaupun kos operasi naik.


Jumlah aset kumpulan setakat 30 November 2025 berjumlah RM232.364 juta, dan syarikat sudah membayar dividen interim kedua satu peringkat 0025 sen sesaham biasa bagi FY25 pada 23 Disember 2025.


"Sasbadi kekal optimis terhadap prospek FY26 melalui beberapa inisiatif utama, antaranya tender buku teks bagi Kurikulum Persekolahan 2027 yang dijangka diumumkan pada suku ketiga," jelasnya.


Kumpulan bersedia membangunkan bahan pembelajaran bagi menyokong penilaian Matriks Pembelajaran Malaysia (MPM) untuk murid Tahun Empat dan Tingkatan Tiga, serta penyelarasan prasekolah.


Di samping itu, ia menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Intel dan MaiStorage pada 28 Januari 2026 untuk membangunkan rumusan termaju bagi sektor pendidikan di rantau Asia Tenggara.


Secara keseluruhan, Sasbadi berada pada kedudukan kukuh untuk memanfaatkan transformasi digital dan perubahan polisi pendidikan nasional bagi memacu pertumbuhan hasil dan keuntungan. - DagangNews.com