Kerajaan bincang pembayaran pelan MHIT asas melalui caruman KWSP - Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan bincang pembayaran pelan MHIT asas melalui caruman KWSP - Amir Hamzah

Gambar hiasan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Jan – Kementerian Kewangan sedang mengkaji kerjasama dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membolehkan pembayaran Pelan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) asas menggunakan caruman tersebut.

 

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata langkah itu bertujuan memudahkan rakyat Malaysia membayar premium pelan MHIT asas, yang dijangka serendah RM80 sebulan tanpa menjejaskan perlindungan perubatan.

 

“Sekarang pun, dalam akaun Sejahtera KWSP, kita telah membenarkan penggunaan caruman untuk produk I Lindung termasuk perlindungan penyakit kritikal. 

 

 

 

 

 

 

 

“Kita sedang berbincang sama ada konsep ini boleh diterima sebagai satu produk yang akan dibenarkan pengeluarannya untuk pembayaran itu (pelan MHIT asas),” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang ingin tahu sama ada rakyat dibenarkan menggunakan wang caruman KWSP untuk mendapat manfaat tersebut di Parlimen hari ini.

 

Pelan MHIT asas diperkenalkan sebagai usaha kerajaan untuk menyediakan perlindungan perubatan swasta yang lebih mampu milik.

 

MHIT asas menawarkan manfaat standard untuk kos rawatan penting di hospital termasuk kos wad harian, ubat berimpak tinggi terpilih, serta rawatan sebelum dan selepas kemasukan hospital.

 

Pelan ini merupakan sebahagian daripada strategi kerajaan untuk menangani tekanan kos dalam industri kesihatan swasta dan tidak menggantikan penjagaan kesihatan awam, yang akan terus menyediakan akses universal kepada rakyat.

 

Terdahulu, beliau berkata produk MHIT asas menyasarkan dua kumpulan utama iaitu rakyat yang belum mempunyai insurans atau takaful perubatan dan mampu membiayai perlindungan swasta serta pemegang polisi yang mencari alternatif lebih mampu milik.

 

t

 

“Pelan ini dirancang untuk menawarkan kenaikan premium lebih stabil melalui penyelarasan pakej manfaat dan kadar premium merentasi semua syarikat insurans yang menawarkan MHIT asas.

 

“Selain itu, pengenalan bayaran bersama (co-payment), sistem pembayaran berasaskan Diagnosis-Related Group (DRG), dan rundingan strategik perkhidmatan penjagaan kesihatan akan membantu kawalan kos yang lebih berkesan,” katanya.

 

Pelan asas ini bukan produk berasaskan pelaburan, menjadikannya lebih mudah difahami dan berpatutan, di samping mengurangkan tekanan kos kesihatan kepada isi rumah.

 

Projek perintis pelan MHIT asas dijadual bermula pada separuh kedua 2026, dengan pelaksanaan penuh dijangka awal 2027.

 

Pemegang polisi sedia ada boleh memilih untuk beralih tanpa perlu menjalani semula proses underwriting atau menunggu tempoh tertentu.

 

Beliau menegaskan, melalui kolaborasi pelbagai pihak termasuk KWSP, Bank Negara, Kementerian Kesihatan dan pemain industri insurans, pelan MHIT asas akan menjadi langkah penting memperluas akses perlindungan kesihatan yang berterusan, sambil menyokong ekosistem kesihatan yang lebih mampan.

 

Sebelum pengenalan Pelan MHIT Asas, ramai rakyat Malaysia menghadapi cabaran membayar premium insurans kesihatan yang semakin meningkat. 

 

Kenaikan kos rawatan hospital dan ubat-ubatan berimpak tinggi menjadikan perlindungan sedia ada kurang mampu milik, terutamanya bagi golongan isi rumah berpendapatan sederhana. 

 

Ketidakseimbangan antara kemampuan membayar dan perlindungan menyeluruh telah menimbulkan kebimbangan, malah sebahagian rakyat masih tiada sebarang insurans atau takaful perubatan.

 

 

 

 

 

Selain itu, kos perubatan yang tidak terkawal dan kurang ketelusan dalam sistem pembayaran “fee-for-service” menyebabkan industri kesihatan swasta berdepan tekanan kos, sekali gus mempengaruhi kadar premium insurans. 

 

Untuk menangani isu ini, kerajaan dan pihak berkepentingan mula menilai mekanisme kawalan kos, termasuk penggunaan co-payment dan deduction, serta inisiatif bagi membolehkan sebahagian pembayaran premium menggunakan caruman KWSP, bagi memastikan perlindungan lebih mampu milik dan berkesan. - DagangNews.com