Kebergantungan tinggi kepada sektor pembinaan, pusat data dikhuatiri jejaskan ISF – PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kebergantungan tinggi kepada sektor pembinaan, pusat data dikhuatiri jejaskan ISF – PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 Jan — Walaupun bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 28 Januari 2026, ISF Group Berhad berdepan risiko struktur yang amat ketara, menurut Public Investment Bank.


Firma penyelidikan tersebut berkata, perniagaan kumpulan penyedia perkhidmatan rumusan paip bersepadu itu dinilai sangat bergantung kepada sektor pembinaan dan pembangunan pusat data (DC).


Keadaan fokus syarikat berkenaan jelasnya, diketahui terdedah amat luas kepada kitaran ekonomi, kelewatan projek dan perubahan sentimen pelaburan tidak dijangka pasaran pada bila-bila masa.


"Kami memberi amaran yang sebarang penangguhan atau pembatalan projek berskala besar, khususnya dalam segmen DC dan prasarana, boleh memberi tekanan segera," kata PublicInvest dalam notanya.


Tambahnya, beban itu memberi kesan kepada buku tempahan, aliran tunai dan pertumbuhan hasil ISF, memandangkan ia masih di fasa awal sebagai syarikat tersenarai dengan skala operasi yang kecil.


Bagaimanapun, firma itu menegaskan bahawa kumpulan tersebut masih memiliki asas operasi kukuh, disokong rekod prestasi lebih sedekad dalam menyediakan rumusan paip secara menyeluruh.


Perkhidmatan ditawarkan jelas PublicInvest, meliputi pembekalan, pemasangan, ujian, pentauliahan serta perkhidmatan reka bentuk, yang meningkatkan kawalan projek dan kebolehpercayaan pelaksanaan.


"ISF turut memiliki pendedahan yang merentas sektor perindustrian, DC, kediaman, komersial dan institusi, dengan penggunaan saluran pengedaran secara langsung dan tidak langsung," katanya.


Situasi ini memperluas jangkauan pasaran dan menjana perniagaan berulang, dengan firma berkenaan mengunjurkan pendapatannya berkembang pada kadar purata sekitar 55% dalam tempoh tiga tahun.


Pertumbuhan besar itu dipacu peningkatan penyertaan dalam projek industri dan pusat data yang lebih kompleks serta bermargin tinggi, selain sokongan daripada pembangunan kediaman berterusan.


Selain itu, PublicInvest menetapkan nilai saksama 41 sen sesaham berdasarkan gandaan 14 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY26, iaitu diskaun 30% berbanding purata industri.


"Unjuran positif ini masih lagi sejajar dengan permodalan pasaran ISF yang agak kecil walaupun mempunyai margin keuntungan sangat menarik," katanya. - DagangNews.com