KUALA LUMPUR 15 Jan – Westports Holdings Bhd dijangka mencatat pertumbuhan isipadu kontena sebanyak tiga peratus kepada 11.6 juta TEU pada 2026, menurut Affin Hwang Investment Bank.
Bagaimanapun firma penyelidikan tersebut memberi amaran situasi normalisasi yang pantas susulan pergerakan transit kapal melalui Terusan Suez berpotensi mencetuskan risiko kesesakan.
Dalam satu nota penyelidikan, Affin Hwang berkata, Westports mencatat rekod isipadu kontena 11.3 juta TEU pada 2025, meningkat tiga peratus tahun ke tahun, didorong oleh pemulihan volum pemunggahan semula.
“Kami percaya panggilan perkhidmatan tambahan oleh Ocean Alliance serta keperluan menyusun semula yang lebih tinggi telah menyokong prestasi ini,” katanya.
Firma penyelidikan itu turut menegaskan Westports telah mengekalkan pertumbuhan hasil kontena yang mampan sepanjang sedekad lalu, disokong oleh peningkatan volum pintu masuk susulan pertumbuhan ekonomi dan peralihan rantaian bekalan, kenaikan tarif pelabuhan termasuk peningkatan 15% pada Julai 2025, serta pengembangan perkhidmatan nilai tambah.
Bagi 2026, Affin Hwang menjangkakan kenaikan tarif pelabuhan sebanyak 10%, berkuat kuasa Januari 2026, akan terus mengukuhkan hasil kontena Westports.
Sementara itu, Affin Hwang berkata, peluasan Westports 2 menunjukkan kemajuan yang baik, dengan Terminal Kontena 10 berada di landasan untuk memulakan operasi pada suku kedua 2028.
“Ini dijangka menambah antara 1.5 juta hingga 1.6 juta TEU dan meningkatkan kapasiti sebanyak 11% hingga 12%,” katanya.
Selepas itu, Terminal Kontena 11 dijadualkan beroperasi pada suku keempat 2029.
Dalam perkembangan lain, firma itu memaklumkan projek Pelabuhan Pulau Carey kembali mendapat perhatian kerajaan, dengan Westports menyatakan minat untuk mengambil bahagian.
Bagaimanapun, Affin Hwang berpandangan walaupun Pelabuhan Pulau Carey menawarkan potensi strategik, Westports 2 masih mempunyai kelebihan ketara dari segi permulaan awal, kos serta daya saing.
Secara keseluruhan, Affin Hwang mengekalkan saranan “beli” ke atas Westports dengan harga sasaran tidak berubah pada RM6.50, disokong oleh asas perniagaan yang kukuh serta hasil dividen 4.6%.
Firma itu menjangkakan Westports mencatat keuntungan bersih teras RM995 juta pada 2025, meningkat 10% tahun ke tahun, dan meramalkan pendapatan meningkat 20 peratus kepada RM1.21 bilion pada 2026, dipacu oleh kenaikan tarif.
“Unjuran pendapatan 2026 kami adalah sembilan peratus lebih tinggi berbanding konsensus, mencerminkan pandangan kami yang lebih optimistik terhadap pertumbuhan hasil kontena.
“Pada 16 kali anggaran nisbah harga kepada pendapatan 2026, penilaian kumpulan ini kekal menarik berbanding purata sejarah dan rakan setara,” katanya. - DagangNews.com








