KUALA LUMPUR 15 Jan – Japan Tobacco International (JTI) Malaysia mengumumkan pelantikan Didier Ellena sebagai Pengarah Urusan yang baharu berkuat kuasa 5 Januari 2026.
JTI dalam kenyataan hari ini berkata, Ellena memiliki pengalaman lebih 30 tahun bersama JTI dan pernah memegang pelbagai jawatan kepimpinan di Hungary, Adriatica, Rusia, Perancis dan Itali.
“Dalam peranan baharunya, Ellena akan bertanggungjawab mengetuai strategi serta operasi perniagaan JTI Malaysia secara menyeluruh, dengan penekanan berterusan terhadap pertumbuhan mampan, pematuhan kawal selia dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab,” kata JTI dalam kenyataan itu.
Ellena menggantikan Juliana Mohd Yahaya, yang dilantik sebagai Pengarah Urusan JTI Malaysia pada Oktober 2023.
“JTI Malaysia turut merakamkan penghargaan atas kepimpinan Juliana dan mengucapkan selamat maju jaya atas pelantikannya sebagai Naib Presiden, Jualan & Pemasaran, JTI Asia Utara,” menurut kenyataan itu.
Mengulas pelantikannya, Ellena berkata, saya berasa amat berbesar hati dan teruja untuk memikul amanah ini serta memimpin pasukan JTI Malaysia.
“Malaysia merupakan pasaran strategik yang penting kepada JTI, dan saya tidak sabar untuk bekerjasama rapat dengan warga kerja, rakan niaga serta pihak berkepentingan bagi menjana nilai jangka Panjang,” katanya.
Ellena menambah, JTI akan terus menegakkan piawaian tertinggi dalam aspek integriti dan tanggungjawab dalam setiap operasi perniagaan di Malaysia.
Sementara itu, JTI Malaysia berkata, syarikat kekal komited untuk beroperasi secara bertanggungjawab selaras dengan kerangka peraturan Malaysia, di samping terus menyumbang secara positif kepada landskap ekonomi dan sosial negara. - DagangNews.com








