Johor beri jaminan pembangunan pesat JS-SEZ tidak jejas keperluan bekalan air, elektrik untuk rakyat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johor beri jaminan pembangunan pesat JS-SEZ tidak jejas keperluan bekalan air, elektrik untuk rakyat

Gambar BERNAMA
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Jan – Kerajaan Negeri Johor menegaskan keperluan asas rakyat seperti bekalan air dan elektrik kekal menjadi keutamaannya, seiring dengan kemasukan pelaburan strategik yang semakin rancak, terutama di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

 

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata setiap pelaburan berskala besar, termasuk pusat data dan industri berintensif tinggi, hanya dipertimbangkan selepas melalui penilaian teknikal yang ketat bagi memastikan ia tidak menjejaskan bekalan sedia ada yang dinikmati oleh rakyat.

 

Beliau berkata kerajaan negeri telah mengadakan pertemuan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Ranhill SAJ (RSAJ) untuk membincangkan perancangan jangka pendek, sederhana, dan panjang bagi bekalan air dan elektrik di negeri Johor.

 

 

 

 

 

 

“Bagi bekalan elektrik, pihak TNB melaporkan bahawa kapasiti di kawasan JS-SEZ berada pada tahap mencukupi dan terkawal.

 

“Sehingga Disember 2025, kapasiti terpasang bekalan elektrik di kawasan ini adalah sebanyak 3,885 MVA. 

 

“Permintaan semasa di kawasan JS-SEZ adalah sekitar 1,272 MW, bersamaan kadar penggunaan kira-kira 72.76%, yang masih berada dalam margin operasi sihat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Bagi memastikan kesiapsiagaan jangka panjang, beliau berkata TNB merancang pembangunan infrastruktur grid secara berfasa. 

 

Ini melibatkan empat Pencawang Masuk Utama (PMU) yang telah diluluskan dengan kapasiti 630 MVA, serta sembilan PMU tambahan dalam perancangan dengan kapasiti 1,620 MVA.

 

t
Gambar Facebook Menteri Besar Johor
 

 

t

 

Pendekatan ini memastikan setiap pelaburan baharu di JS-SEZ disokong oleh kapasiti tambahan yang dirancang, tanpa menjejaskan bekalan elektrik sedia ada untuk rakyat Johor.

 

Bagi bekalan air, kawasan JS-SEZ merangkumi tiga daerah iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi dan Pontian, yang melibatkan enam Pihak Berkuasa Tempatan.

 

“Sehingga Januari 2026, RSAJ melaporkan jumlah peruntukan kapasiti bekalan air sebanyak 1,488 juta liter sehari (JLH).

 

“Pengeluaran semasa adalah sekitar 1,261 JLH, menyediakan kapasiti rizab kira-kira 227 JLH atau 15% bagi menampung keperluan semasa serta memastikan keselamatan dan kesinambungan bekalan air,” katanya.

 

Tambah beliau, kerajaan negeri bersama Kerajaan Persekutuan turut meluluskan projek rezoning bernilai RM1.02 bilion bagi meningkatkan kecekapan sistem agihan air terawat, melibatkan kapasiti tambahan 260 JLH, terutamanya di Iskandar Puteri dan Sedenak.

 

Selain itu, Johor merancang dan melaksanakan lima projek Loji Rawatan Air (LRA) baharu serta projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dengan kerjasama RSAJ, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

 

 

 

 

 

 

Projek-projek ini akan dibangunkan secara berperingkat untuk memastikan kapasiti bekalan air Johor mencukupi untuk keperluan semasa dan bersedia menyokong pertumbuhan negeri sehingga tahun 2035.

 

Secara keseluruhan, kesemua projek ini akan menyediakan lebih 1,100 JLH kapasiti baharu, memastikan bekalan air Johor kekal mencukupi, stabil, dan selamat untuk rakyat, sambil menyokong pembangunan industri dan ekonomi negeri dalam jangka panjang. - DagangNews.com