JcbNext jual pegangan 9.45% dalam Nova Pharma bernilai RM5.21 juta kepada Southern Score | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JcbNext jual pegangan 9.45% dalam Nova Pharma bernilai RM5.21 juta kepada Southern Score

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 JanJcbNext Berhad melupuskan keseluruhan pegangan 14.08 juta saham, atau 9.45% ekuiti, dalam Nova Pharma Solutions Berhad bagi pertimbangan tunai berjumlah RM5.21 juta.


Penyedia rumusan teknologi itu berkata, pelupusan tersebut dibuat pada 19 Januari 2026 melalui penerimaan tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat oleh Southern Score Builders Berhad.


Tambahnya, syarikat berkenaan menawarkan harga 37 sen sesaham bagi semua baki saham yang dipegang oleh JcbNext. Nova Pharma merupakan syarikat awam disenaraikan di Pasaran LEAP Bursa Malaysia.


"Susulan pelupusan itu, JcbNext bukan lagi pemegang saham utama, selaras dengan Perenggan 9.19(26) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama," kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Nova Pharma yang ditubuhkan pada 2005 jelasnya, terlibat dalam penyediaan dokumentasi teknikal, perkhidmatan pengesahan serta pelaksanaan projek dalam industri farmaseutikal dan biologi. 


Setakat 19 Januari 2026, syarikat kejuruteraan melali usaha sama antara Jebsen & Jessen Engineering dan Pharmaplan International itu mempunyai modal saham terbitan yang sebanyak 149.01 juta unit.


Lembaga Pengarah JcbNext menyatakan selepas menimbang semua faktor berkaitan, pelupusan syarikat tersebut yang disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2018, adalah demi kepentingan terbaik kumpulan.


"Kami mengesahkan tiada pengarah atau pemegang saham utama JcbNext memiliki sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam urus niaga ini," katanya.  - DagangNews.com