KUALA LUMPUR 19 Jan — Jualan Nestlé (Malaysia) Berhad dijangka mampan tahun ini, dipacu sentimen pengguna kembali normal terhadap pelbagai jenamanya susulan isu boikot semakin reda, menurut RHB Research.
Tambah firma penyelidikan tersebut, usaha pemasaran secara berkesan dan sentimen pemulauan mulai kurang, di samping faktor sokongan daripada pengukuhan nilai ringgit ketika ini, turut dilihat membantunya.
Justeru, ia mengekalkan saranan 'beli' dan menaikkan harga sasaran kepada RM135 daripada RM120, mencerminkan potensi peningkatan 16%, selain anggaran pulangan dividen kira-kira 3% bagi FY26.
"Isu boikot dilihat berakhir, dengan peningkatan kecairan pasaran dan minat berterusan pelabur terhadap sektor pengguna dijangka mendorong kebangkitan Nestle pada 2026," kata RHB Research.
Sehubungan itu, saham Nestlé wajar dinilai semula, susulan prestasi harganya yang kukuh sepanjang 2025 dan menawarkan keterlihatan pendapatan tinggi, disokong penggunaan domestik berdaya tahan.
Dalam nota analisisnya, firma itu berkata, asas pendapatan syarikat yang berorientasikan pasaran tempatan, kekal menjadi pilihan pelabur dalam persekitaran risiko luaran global yang berpanjangan.
Harga sasaran baharu ditetapkan RHB Research itu, diperoleh menerusi kaedah aliran tunai terdiskaun (DCF), dengan turut mengambil kira premium alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebanyak 8%.
"Saham Nestle dinilai 46 kali nisbah harga kepada keuntungan (P/E) FY26F, disokong oleh prospek pertumbuhan pendapatan yang kukuh serta sentimen positif terhadap sektor pengguna," katanya..
Dari segi prospek, firma penyelidikan itu menjangkakan pemulihan margin Nestlé dipacu penurunan harga komoditi utama seperti koko, gandum, susu tepung dan gula untuk pemprosesn produknya.
Peningkatan peruntukan bagi inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dijangka memberi manfaat kepada Nestlé, mengambil kira pegangan pasaran, ekuiti jenama serta rangkaian produk makanan yang kukuh.
Secara keseluruhan kata RHB Research, penggunaan makanan ruji dijangka kekal berdaya tahan pada tahun ini, didorong faktor pertumbuhan gaji dan pasaran pekerjaan yang stabil di Malaysia.
"Keadaan ini sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan yang baik kepada Nestlé di pasaran Malaysia meskipun kumpulan itu masih berdepan dengan cabaran ekonomi global," tambah firma itu.
Bagaimanapun, ia mengingatkan risiko penurunan termasuk lonjakan mendadak harga komoditi serta prestasi pegangan pasaran jenama yang lebih lemah daripada jangkaan. - DagangNews.com








