IPO One Gasmaster terlebih langgan 25.24 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO One Gasmaster terlebih langgan 25.24 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Jan – One Gasmaster Holdings Berhad yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia mencatatkan sambutan luar biasa apabila permohonan awam bagi bagi tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu terlebih langgan sebanyak 25.24 kali.

 

IPO syarikat itu melibatkan penerbitan 77.5 juta saham baharu dan 15.5 juta saham sedia ada yang ditawarkan pada harga RM0.25 sesaham. 

 

Daripada jumlah saham baharu, 15.5 juta diperuntukkan untuk permohonan awam, 3.1 juta untuk pengarah dan pekerja syarikat serta subsidiarinya, 20.15 juta melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih, dan 38.75 juta melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

 

Sementara itu, 15.5 juta saham sedia ada turut ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur tertentu.

 

Bagi permohonan awam, seramai 6,417 pelabur memohon 406.757 juta saham, jauh melebihi jumlah saham yang ditawarkan. 

 

Secara terperinci, 3,177 permohonan untuk peruntukan Bumiputera berjaya memperolehi 7.75 juta saham, manakala 3,240 permohonan untuk peruntukan awam lain turut memperolehi 7.75 juta saham. 

 

Permohonan bagi pengarah dan pekerja syarikat turut dilanggan sepenuhnya.

 

Melaka Securities Holdings Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penjamin dan Ejen Penempatan bagi IPO ini.

 

Penempatan persendirian bagi 20.15 juta saham baru dan 15.5 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih turut dilanggan sepenuhnya, manakala 38.75 juta saham baru bagi pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI juga habis dilanggan.

 

Notis peruntukan saham dijadualkan dihantar kepada semua pemohon yang berjaya selewat-lewatnya pada 26 Januari 2026.

 

Sambutan terhadap IPO ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap prospek One Gasmaster Holdings serta minat terhadap pelaburan di sektor tenaga dan gas di Malaysia. 

 

Dengan penyenaraian ini, syarikat dijangka dapat memperkukuh kedudukannya di pasaran serta menyediakan platform untuk pertumbuhan masa depan. - DagangNews.com