SHAH ALAM 20 Jan – Peruntukan bagi menyokong pelaksanaan pembangunan Inisiatif Bandar Pintar Selangor ditingkatkan kerajaan kepada sebanyak RM450 juta berbanding asalnya hanya kira-kira RM350 juta.
Jumlah itu kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, merupakan semakan semula, yang dibuat susulan permohonan kerajaan negeri kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Tambahnya, kerjasama strategik ini bertujuan memperkukuh agenda pendigitalan dan pembangunan bandar pintar di negeri berkenaan yang memiliki populasi paling tinggi di Malaysia mencecah 7.4 juta orang.
"Dengan sukacitanya dimaklumkan, susulan permohonan yang dikemukakan oleh kerajaan Selangor, maka peruntukan tersebut disemak kembali dan ditingkatkan kepada RM450 juta," katanya dalam ucapan.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MCMC dan Kerajaan Negeri, dengan keberangkatan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Acara turut disaksikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, selaras dengan aspirasi nasional Malaysia Digital 2030 dan Pelan Pendigitalan Selangor 2026-2030.
Pertukaran dokuman MoU kerjasama secara bersepadu tersebut melibatkan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajudin.
Menurut Fahmi, inisiatif itu memberikan tumpuan kepada tiga bidang utama di bawah penyelarasan Selangor Integrated and Intelligent Operations Centre (SIIOC) antaranya pembangunan infrastruktur.
"Ini termasuk perluasan rangkaian gentian optik dan Wi-Fi awam yang menawarkan kesalinghubungan pintar serta peningkatan keselamatan awam dan pengurusan trafik, serta pengurusan banjir," katanya.

Pembangunan prasarana ini jelas beliau, akan menjadi asas kepada bandar pintar, serta memastikan seluruh rakyat Selangor dapat menikmati capaian Internet yang lebih luas, stabil dan berkualiti.
Tambah Fahmi, melalui sokongan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), Selangor kini muncul negeri peneraju liputan telekomunikasi 5G di Malaysia dengan pencapaian 96.9% setakat 31 Disember 2025.
Dalam pada itu, Smartsel Sdn Bhd, anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, dilantik sebagai agensi pelaksana utama menyelaraskan integrasi komponen bandar pintar tersebut.
"Langkah ini dilihat selari aspirasi nasional dan kerangka Malaysia MADANI bagi memastikan teknologi termaju seperti 5G dan kecerdasan buatan (AI) memberi manfaat inklusif," katanya. - DagangNews.com








