HHRG kekal untung bersih bagi FY25 namun turun kepada RM6.35 juta berikutan kos pentadbiran tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HHRG kekal untung bersih bagi FY25 namun turun kepada RM6.35 juta berikutan kos pentadbiran tinggi

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 Jan - HHRG Berhad melaporkan keuntungan bersih tahunan sebanyak RM6.35 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025, namun turun 19.12% berbanding RM7.86 juta FY24.


Kemerosotan itu disebabkan terutamanya oleh peningkatan perbelanjaan pentadbiran tahunan kepada RM35.01 juta berbanding hanya RM20.25 juta dicatatkan pada tahun kewangan yang sebelumnya.


Kenaikan kos ini berpunca daripada perbelanjaan sekali beri berjumlah RM3.96 juta bagi transaksi pembayaran berasaskan saham untuk ganjaran kepada pekerja, serta beberapa lagi perkara tertentu.


"Antaranya, caj penurun nilai ke atas aset tidak ketara sebanyak RM13.11 juta dan penghutang pula kira-kira RM6.10 juta yang diiktiraf dalam tempoh tersebut," maklum HHRG kepada Bursa Malaysia.


Secara tahunan, kumpulan ini mencatatkan perolehan sebanyak RM121.88 juta, tetapi jumlah tersebut susut sedikit sebanyak 1.97% berbanding kira-kira RM124.32 juta pada tahun kewangan sebelumnya.


Dari segi segmen katanya, bahan biojisim kekal sebagai penyumbang terbesar dengan peningkatan hasil 11.33% kepada RM69.55 juta, disokong oleh volum jualan lebih tinggi dan permintaan stabil.


Segmen perabot dan tilam pula jelas HHRG, mengalami penurunan hasil sebanyak 19.05% kepada RM48.57 juta akibat permintaan yang lebih lemah dan perubahan pengurusan dalam anak syarikat utamanya.


"Walaupun untung bersih menyusut, margin untung kasar meningkat kepada 28.80% (2024: 27.60%) hasil daripada kecekapan kos dalam segmen biojisim dan campuran produk yang ditambah baik," tambahnya.


Jumlah liabiliti kumpulan menurun signifikan sebanyak 37.24% kepada RM38.94 juta berikutan bayaran balik pinjaman dan liabiliti pajakan, dengan ekuiti pemegang saham bertambah kepada RM212.53 juta.


HHRG menjelaskan kerugian daripada perbelanjaan pentadbiran tersebut sudah diimbangi sebahagiannya oleh faktor peningkatan pendapatan lain tahunan yang berjaya mencecah kira-kira RM16.56 juta.


Selain itu tambahnya lagi, hasil daripada keuntungan pelupusan hartanah pelaburan dan pendapatan tidak berulang yang lain, turut membantu bagi memperbaiki prestasi kedudukan kewangan syarikat.


"Melangkah ke hadapan, kumpulan ini komited untuk terus memantau dan mengurus risiko merentasi semua segmen perniagaan dengan disiplin, serta giat mempelbagaikan aliran pendapatan," katanya.


Langkah itu jelasnya, melalui penglibatan dalam pembangunan hartanah dan perkhidmatan kredit bagi memastikan pertumbuhan yang mampan serta penciptaan nilai jangka panjang. - DagangNews.com