KUALA LUMPUR 20 Jan – Greentronics Technology Berhad menceburi industri kitar semula bateri dengan kerjasama syarikat teknologi alam sekitar dari Hong Kong, Achelous Pure Metal Company Limited.
Kumpulan tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai Mpire Global Berhad, mengumumkan langkah strategik itu melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) kepada Bursa Malaysia hari ini.
Kerjasama ini katanya, bertujuan untuk meneroka penubuhan kemudahan kitar semula bateri litium-ion dan perniagaan berkaitan, dengan memfokuskan kepada pasaran Malaysia sebelum ke rantau ASEAN.
"Langkah ini diambil bagi memenuhi permintaan semakin meningkat terhadap pengurusan sisa bateri susulan peningkatan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dan sistem penyimpanan tenaga," jelasnya.
Malaysia tambah Greentroncs, dikenal pasti sebagai lokasi strategik projek ini disebabkan oleh infrastruktur industri, kerangka kawal selia, serta kedudukan geografi menghubungkan pasaran ASEAN.
Di bawah terma MOA berkenaan katanya, tanggungjawab kedua-dua pihak dibahagikan mengikut kepakaran masing-masing dengan kumpulan tersebut sendiri bertindak sebagai penyelaras bag projek tempatan.
Ini jelasnya, termasuk menilai tapak yang berpotensi, keperluan infrastruktur, serta memantau pematuhan kawal selia dan pelesenan di seluruh Malaysia.
"Achelous pula akan menyediakan input teknikal dan khidmat nasihat berkaitan proses kitar semula bateri, serta menilai hasil bahan yang dipulihkan seperti black mass dan litium karbonat," katanya.
Lembaga Pengarah Greentronisc menyatakan projek ini merupakan peluang untuk kumpulan tersebut menyertai industri berorientasikan masa depan yang sejajar dengan trend peralihan tenaga global.
Projek yang dicadangkan ini dijangka menangani permintaan terhadap rumusan kitar semula bateri yang patuh peraturan, sekali gus dapat memperkukuhkan kedudukan strategik jangka panjang kumpulan.
Sementara Achelous membawa kepakaran melalui teknologi pemulihan sumber proprietari yang sudah lama dilaksanakan di sebahagian besar China sendiri, termasuk di wilayah Jiangsu dan Inner Mongolia.
"Buat masa ini, MOA itu tidak mempunyai kesan material segera terhadap aset bersih, pendapatan, mahupun penggearan Greentronics bagi tahun kewangan semasa," tambah kenyataan kumpulan tersebut.
Bagaimanapun, syarikat itu akan membuat pengumuman lanjut sekiranya kedua-dua pihak memuktamadkan perjanjian definitif pada masa hadapan. - DagangNews.com








