FMM saran pelaksanaan berperingkat larangan kenderaan terlebih muatan, bimbang jejaskan rantaian bekalan industri RM1.6 trilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FMM saran pelaksanaan berperingkat larangan kenderaan terlebih muatan, bimbang jejaskan rantaian bekalan industri RM1.6 trilion

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 10 NovPersekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyarankan kerajaan melaksanakan penguatkuasaan berperingkat terhadap kenderaan terlebih muatan, dengan memberi amaran tindakan drastik tanpa pelan peralihan yang jelas boleh mengganggu operasi pengeluaran dan rantaian bekalan industri bernilai lebih RM1.6 trilion setahun.

 


FMM dalam kenyataan hari ini berkata, meskipun undang-undang mengenai muatan berlebihan telah lama wujud, sektor pengangkutan kargo am beroperasi berasaskan “kecekapan perjalanan” iaitu di mana kadar, kenderaan dan jadual penghantaran dirancang mengikut jumlah perjalanan, bukannya berat muatan.

 


“Kenderaan telah dikonfigurasi dan kontrak pula ditetapkan berasaskan kecekapan perjalanan. Menyusun semula amalan ini memerlukan penyelarasan menyeluruh antara pengangkut, pemilik kargo dan pelanggan bagi memastikan kesinambungan serta kestabilan kos,” kata FMM dalam kenyataan itu.

 


Saranan itu dibuat susulan peningkatan kemalangan maut yang melibatkan lori terlebih muatan, mendorong kerajaan melancarkan operasi besar-besaran sejak 14 Oktober lalu, di mana ribuan saman telah dikeluarkan dan puluhan kenderaan komersial disita.

 


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, sebelum ini menegaskan tindakan keras akan diteruskan tanpa kompromi.

 


“Keuntungan bukan segalanya, nyawa manusia lebih penting,” katanya pada 27 Oktober lalu sebagai respons kepada rayuan sektor pembinaan agar diberi kelonggaran sementara.

 


Bagaimanapun, FMM menekankan pihak industri mengiktiraf pematuhan undang-undang sebagai tanggungjawab moral dan perundangan, namun menegaskan keperluan kepada pendekatan “berperingkat dan berunding” agar pemain industri mempunyai masa mencukupi untuk menyusun semula kontrak, menaik taraf armada dan mengurus agihan beban muatan.

 


Bagi memastikan pelaksanaan lebih tersusun, FMM mencadangkan penubuhan Majlis Bersama Keselamatan dan Pematuhan Logistik, yang melibatkan Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), pengangkut, pemilik kargo dan wakil industri.

 


“Pendekatan kolaboratif ini akan memastikan matlamat keselamatan kerajaan tercapai tanpa menjejaskan kecekapan logistik atau daya saing perindustrian negara,” tambah FMM.

 


FMM sebelum ini turut menekankan industri pembuatan Malaysia menyumbang lebih 24% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menggaji lebih 2.3 juta pekerja, menjadikan kestabilan sektor logistik dan pengangkutan kargo sebagai faktor kritikal kepada pertumbuhan ekonomi negara. - DagangNews.com