FGV dibenarkan semula eksport minyak sawit ke AS susulan pengubahsuaian WRO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FGV dibenarkan semula eksport minyak sawit ke AS susulan pengubahsuaian WRO

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 16 Jan – FGV Holdings Bhd dibenarkan eksport semula  minyak sawit dan produk berkaitan ke Amerika Syarikat (AS) oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) negara berkenaan. 

 

Menurut kumpulan perladangan tersebut, kelonggaran berkenaan susulan langkah pengubahsuaian perintah penahanan pelepasan (WRO) yang sudah dikuatkuasakan agensi itu pada 15 Januari 2026.

 

Justeru, produk anak syarikat dan usaha sama kumpulan itu dibenarkan memasuki pasaran AS, tertakluk kepada pematuhan sepenuhnya terhadap semua undang-undang dan peraturan berkaitan di negara tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Fakhrunniam Othman berkata, pengubahsuaian WRO itu merupakan satu pencapaian penting buat FGV dan mencerminkan kemajuan yang dicapai hasil komitmen berterusan syarikat terhadap amalan beretika dan bertanggungjawab.

 

“Melalui reformasi berterusan merentasi operasi kami, FGV telah memperkukuh amalan buruh, melindungi hak asasi manusia serta mengintegrasikan kelestarian dalam setiap aspek perniagaan.

 

“Keputusan ini membuktikan bahawa komitmen kami terhadap amalan bertanggungjawab dan beretika membolehkan FGV memenuhi piawaian antarabangsa serta mengekalkan akses ke pasaran utama seperti Amerika Syarikat,” katanya.

 

Menurut FGV, pengubahsuaian WRO itu mencerminkan usaha berterusan kumpulan dalam memperkukuh amalan buruh selaras dengan peraturan nasional dan piawaian antarabangsa.

 

FGV telah melaksanakan pelan tindakan komprehensif bagi menghapuskan sebarang petunjuk buruh paksa dan buruh kanak-kanak dalam operasinya, termasuk memperketat prosedur pengambilan pekerja serta membayar balik yuran pengambilan kepada 23,461 pekerja aktif dan bekas pekerja.

 

Selain itu, kumpulan tersebut turut menaik taraf 2,520 unit kediaman pekerja dan membina 1,002 rumah baharu, di samping menambah baik akses kepada air bersih melalui penaiktarafan 27 loji rawatan air dan pemasangan 1,193 penapis air.

 

FGV juga memperluaskan capaian internet di 165 lokasi, selain memperkenalkan sistem pemantauan digital bagi memastikan pematuhan piawaian buruh, memperkukuh mekanisme aduan melalui Jawatankuasa Pengurusan Aduan Kumpulan serta saluran pelaporan pihak ketiga.

 

Usaha memperkasa suara pekerja turut dilaksanakan menerusi penubuhan Jawatankuasa Komunikasi Harmoni di peringkat ladang, manakala kerjasama dengan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang (NUPW) diperkukuh bagi mempromosikan hak pekerja, termasuk kebebasan berpersatuan dan keahlian kesatuan.

 

Menurut Fakhrunniam, hak, kebajikan dan suara pekerja kekal menjadi teras kepada operasi FGV.

 

“Kami akan terus bekerjasama dengan pasukan dan rakan strategik bagi mewujudkan nilai jangka panjang kepada semua pemegang taruh, termasuk pekerja, rakan perniagaan, komuniti serta industri minyak sawit,” katanya.

 

Dengan pengubahsuaian WRO itu, FGV menegaskan komitmennya untuk terus memajukan hak asasi manusia, memperkukuh amalan kelestarian dalam keseluruhan operasi dan rantaian bekalan serta sejajar dengan piawaian ESG global yang semakin berkembang.

 

Kumpulan itu turut memaklumkan akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi mempromosikan amalan bertanggungjawab, menyokong agenda pembangunan negara serta meningkatkan daya tahan jangka panjang industri minyak sawit. - DagangNews.com